fbpx
ANWAR (tengah) menyampaikan replika cek berjumlah RM25 juta pada Majlis Penyerahan Geran Tahunan Kerajaan kepada Universiti AIMST di Bedong, Sungai Petani hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

Semua universiti termasuk IPTS perlu ada jabatan AI – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Semua universiti termasuk institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) perlu mewujudkan jabatan kecerdasan buatan (AI) bagi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi memastikan generasi muda memiliki pengetahuan dan kemahiran diperlukan dalam dunia pekerjaan yang semakin dipengaruhi teknologi AI.

Kata beliau, AI bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan yang perlu dikuasai oleh rakyat bagi memastikan negara terus berdaya saing di peringkat global.

“Di peringkat sekolah lagi kita telah mula memperkenalkan teknologi digital dan memperkenalkan AI.

“Kemudian, di universiti sejak tiga tahun lalu kita mula dengan fakulti AI di UTM (Universiti Teknologi Malaysia). Sekarang kita minta semua universiti ada jabatan AI termasuk di Universiti AIMST ini, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pelajar dalam program Temu Anwar Universiti AIMST di Bedong, di sini hari ini.

Anwar turut menyampaikan geran kerajaan tahunan sebanyak RM25 juta kepada Universiti AIMST sebelum mengumumkan tambahan RM1 juta lagi bagi membantu pelajar miskin di universiti tersebut.

Beliau berkata, selain menawarkan program pengkhususan AI, semua pelajar tanpa mengira bidang pengajian perlu diberikan pendedahan dan kefahaman asas mengenai teknologi itu.

“Untuk universiti termasuk swasta, juga di AIMST ini memang harus mempertingkatkan bidang ini. Maknanya, bukan sahaja profesor dalam bidang AI tetapi profesor farmasi juga. Ia kerana anak-anak juga akan dilatih menggunakan AI,” ujarnya.

Anwar tidak mahu hanya segelintir kelompok mendapat manfaat daripada AI, sebaliknya seluruh rakyat perlu diberi peluang memahami dan memanfaatkan teknologi tersebut.

Sementara itu, kata beliau, kerajaan juga melaksanakan program literasi digital dan AI kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif di bawah Kementerian Digital serta rangkaian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

Katanya, usaha itu penting bagi mengelakkan jurang penguasaan teknologi antara masyarakat bandar dan luar bandar menjadi semakin besar.

“Jika kita gagal menyediakan akses dan pendedahan yang mencukupi kepada AI, jurang antara golongan kaya dan miskin serta bandar dan luar bandar akan terus melebar,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pembangunan AI perlu diseimbangkan dengan nilai kemanusiaan dan etika bagi mengelakkan penyalahgunaan teknologi tersebut.

“AI ini kalau kita tidak waspada, hilang kemanusiaannya, hilang soal nilai dan akhlak,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN