fbpx
RITA berkata jawatan bukan tiket untuk bermegah, sebaliknya tanggungjawab perlu digalas dengan penuh integriti serta keikhlasan.

Ingatlah, jawatan itu cuma pinjaman – Rita Rudaini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sudah terpesong daripada tugas hakiki, pelakon Rita Rudaini menyifatkan ramai pemimpin kini bagaikan terlalu taksub terhadap jawatan sehingga lupa makna sebenar amanah.

Ujar Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 50, jawatan bukan tiket untuk bermegah, sebaliknya tanggungjawab perlu digalas dengan penuh integriti serta keikhlasan.

“Bila jawatan dijadikan identiti, teguran dianggap ancaman. Bukan pegang jawatan untuk memikul amanah, tetapi untuk menunjuk siapa lebih berkuasa.

“Lupa bahawa jawatan itu sementara, tetapi cara kita menggunakan kuasa akan sentiasa diingati.

“Ada orang mengejar jawatan untuk berkhidmat. Ada juga mengejar jawatan untuk dipandang,” katanya dalam Threads.

Tambah bintang drama Jiwa Seorang Pentaksub itu, sikap terlalu ghairah mengejar status sering membuatkan seseorang hilang nilai sebenar diri, terutama dalam aspek akhlak serta tanggungjawab.

“Bila terlalu taksub dengan jawatan, mereka mula lupa bahawa hormat tidak datang daripada jawatan, tetapi daripada akhlak dan tindakan.

“Hakikatnya, jawatan itu cuma pinjaman.

“Yang kekal hanyalah rekod bagaimana kuasa itu digunakan,” ujarnya.

Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, rata-rata bersetuju dengan pandangan dilontarkan ibu tunggal dua anak itu.

“Betul sangat, ramai sekarang lupa diri bila ada kuasa. Hormat bukan sebab jawatan, tapi cara kita bawa diri.

“Setuju, jawatan hanya sementara. Akhlak yang orang ingat sampai bila-bila,” tulis beberapa pengguna media sosial.

Namun, terdapat juga segelintir pihak berpendapat bukan semua ketua bersikap seumpama itu namun tidak menafikan hantaran Rita boleh menjadi ruang refleksi tentang kepimpinan, integriti serta nilai kemanusiaan dalam memegang sesuatu jawatan dalam kehidupan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN