BATU PAHAT – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukanlah pilihan beliau, sebaliknya keputusan yang dibuat oleh Barisan Nasional (BN) sehingga memaksa semua pihak kembali berdepan gelanggang pilihan raya.
Menurut Perdana Menteri, beliau memilih untuk mengekalkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik.
Jelas Presiden PKR itu, keutamaan kerajaan Perpaduan ketika ini adalah menumpukan usaha memulihkan dan mengukuhkan ekonomi negara dalam suasana ketidaktentuan global, termasuk konflik geopolitik serta cabaran ekonomi antarabangsa.
“Sebenarnya ini bukan pilihan saya. Pilihan saya adalah meneruskan kerjasama, menjaga ekonomi negara, menangguhkan semua pilihan raya dan menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha membantu rakyat.
“Tetapi hendak adakan pilihan raya baharu, hendak kumpulkan orang dan berpolitik semula, itu pilihan mereka. Saya tidak ada pilihan, bila mereka mahu lawan, kita lawan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Johor, di sini malam ini.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, kerajaan Perpaduan telah bekerja keras memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara bagi membolehkan pelbagai inisiatif ekonomi dilaksanakan demi manfaat rakyat.
Beliau memberi contoh kekuatan nilai ringgit yang semakin pulih serta keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai hasil daripada kestabilan politik dan dasar ekonomi yang konsisten.
Menurutnya, beliau sendiri terpaksa melakukan pelbagai lawatan kerja ke luar negara termasuk bagi membuka peluang pelaburan dan kerjasama strategik yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada negara.
“Saya mahu negara fokus kepada pembangunan ekonomi dan penyelesaian masalah rakyat. Dalam keadaan dunia masih bergelut dengan pelbagai krisis dan konflik, keutamaan kita sepatutnya adalah memperkukuhkan ekonomi negara,”katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakyat supaya menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memilih kerajaan yang benar-benar berkhidmat kepada rakyat dan bukannya terlibat dengan amalan salah guna kuasa atau politik perkauman.
Katanya, rakyat Johor perlu menilai prestasi serta dasar yang ditawarkan setiap parti, bukannya terpengaruh dengan sentimen yang memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum.
“Kuasa berada di tangan rakyat. Gunakan kuasa itu dengan baik kerana kerajaan yang dipilih nanti adalah cerminan keputusan rakyat sendiri,” katanya.
Beliau turut melahirkan keyakinan terhadap semangat ditunjukkan rakyat Johor yang disifatkan semakin matang dan tidak mudah dipengaruhi politik kebencian berasaskan kaum serta agama.
“Orang Melayu, Cina dan India hidup bersama tanpa masalah. Yang sering membesarkan isu perkauman adalah ahli politik tertentu. Rakyat sebenarnya mahu kestabilan, pembangunan dan masa depan yang lebih baik,”katanya. – KOSMO! ONLINE














