KUALA LUMPUR – Beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani mencipta kejutan apabila menyingkirkan pasangan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae untuk mara ke pentas final Terbuka Indonesia di Istora Senayan, Jakarta, hari ini.
Pasangan ranking kelapan dunia itu mempamerkan semangat juang tinggi apabila mencatat kemenangan 21-18, 17-21, 21-16 dalam tempoh 56 minit bagi menundukkan juara bertahan tersebut.
Kejayaan itu turut menyaksikan Sze Fei-Izzuddin berjaya menyamakan rekod pertemuan kepada 2-2 dengan pasangan Korea Selatan berkenaan selepas sebelum ini tewas dalam dua daripada tiga pertemuan terdahulu.
Malah, kemenangan tersebut menjadi tonik terbaik buat beregu profesional negara itu yang kini hanya selangkah lagi untuk meraih gelaran Super 1000 pertama musim ini.
Pada set pertama, Sze Fei-Izzuddin tampil agresif dan berjaya mengawal permainan untuk mengesahkan kemenangan 21-18.

Bagaimanapun, Kim-Seo bangkit pada set kedua dengan memperkemaskan permainan mereka sebelum memaksa perlawanan diheret ke set penentuan selepas menang 21-17.
Tidak mahu momentum terus memihak kepada lawan, Sze Fei-Izzuddin kembali memperagakan aksi terbaik mereka pada set ketiga dengan mendahului sejak awal permainan.
Sedar akan kebangkitan gandingan Korea Selatan tersebut, Sze Fei-Izzuddin mengurangkan kesilapan dan akhirnya menoktahkan kemenangan 21-16 sekali gus mengesahkan tiket ke final.
Sze Fei-Izzuddin kini menanti pemenang satu lagi aksi separuh akhir membabitkan dua pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani dan Raymond Indra-Nikolaus Joaquin. -KOSMO! ONLINE














