ALOR SETAR – Golongan wanita dibenarkan menyemak latar belakang bakal suami, namun perlu mematuhi batas yang dibenarkan syarak dan undang-undang.
Peguam syarie, Nur Amalina Adam berkata, Islam melarang perbuatan tajassus atau mengintip yang bertujuan mencari aib seseorang, namun terdapat kelonggaran sekiranya semakan dibuat atas keperluan munasabah bagi mengelak mudarat dalam perkahwinan.
“Tajassus dilarang oleh hukum syarak kerana perbuatan seperti mengintip adalah bertujuan mencari kesalahan atau aib orang lain bagi sesuatu yang memalukan.
“Namun masih ada ruang pengecualian bagi keperluan menjaga nyawa dan kepentingan awam dan tujuan perkahwinan.
“Sebahagian ulama membahaskan walaupun hukum asalnya haram dan dilarang keras, tetapi masih ada kelonggaran apabila wujud keperluan mendesak yang boleh berlakunya mudarat,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Beliau berkata, semakan itu adalah setakat memenuhi ‘keperluan’ atas hasrat sebagai pengetahuan tambahan sahaja, bukannya dijadikan bahan ugutan atau membuka aib dan disebar pula kepada pihak tertentu.
Ini kerana, Islam sangat menjaga maruah dan privasi seseorang, justeru sebarang maklumat yang diperoleh tidak boleh disalahgunakan atau disebarkan.
Semakan latar belakang kini menjadi semakin penting kerana terdapat pelbagai kes melibatkan penipuan identiti, status perkahwinan yang disembunyikan, masalah hutang, rekod jenayah dan isu kesihatan yang hanya diketahui selepas berkahwin.
Pemeriksaan latar belakang juga tidak seharusnya dilihat sebagai tanda tidak mempercayai pasangan, sebaliknya usaha untuk membina institusi keluarga yang lebih selamat dan stabil.
“Proses ini biasanya melibatkan pemeriksaan rekod dan sumber tentang jenayah, kewangan, sejarah perkahwinan, pekerjaan, keluarga, kesihatan dan lain-lain.
“Ia wajar dilakukan bagi memastikan calon suami itu layak dan sesuai bagi mengelak mudarat seperti penipuan, penderaan, hutang, jenayah dan sebagainya,” katanya.
Langkah itu juga dapat membantu mengurangkan risiko berkahwin dengan lelaki yang mempunyai sejarah kesihatan mental berbahaya sehingga boleh mendatangkan kecederaan parah atau mempunyai rekod jenayah yang boleh menjejaskan hubungan suami isteri.
“Ia juga boleh mengelakkan wanita berkahwin dengan lelaki yang mempunyai bebanan hutang yang tinggi dan sebagainya,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, katanya, proses tersebut perlu dilakukan secara beretika dengan menghormati hak privasi individu serta mematuhi kehendak hukum syarak.
Antara kaedah yang boleh dilakukan adalah meminta bakal pasangan mengemukakan sendiri dokumen atau maklumat berkaitan termasuk status kewangan dan latar belakang pekerjaan.
“Selain itu, semakan juga boleh dibuat menerusi saluran rasmi seperti e-Insolvensi, Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), CTOS Data Systems Sdn. Bhd. (CTOS), Suruhanjaya Syarikat Malaysia, rekod mahkamah dan Jabatan Agama Islam Negeri bagi pengesahan status perkahwinan.
“Elakkan tindakan menceroboh data peribadi, menggodam akaun, menggunakan perisian intip atau mendapatkan maklumat secara tidak sah,” katanya. -KOSMO! ONLINE














