KAYU menjadi salah satu bahan berharga untuk kegunaan manusia sejak zaman berzaman. Antara kegunaan ialah dalam industri pembinaan, perkapalan, perabot dan kraf tangan mewah.
Kayu sering dianggap sebagai material yang boleh patah, jika hendak dibandingkan dengan batu atau besi. Namun, tahukah anda terdapat kayu-kayu di dunia yang mempunyai kekerasan yang cukup dahsyat dan hebat? Ia mempunyai ciri-ciri seperti kuat, kukuh, tidak mudah reput, susah berkulat atau diserang anai-anai.
Sehubungan itu, pada minggu ini CitaRasa kongsikan lima kayu yang paling keras di dunia yang diukur dengan skala kekerasan Janka menurut laporan atozwoodcompany.
1- Australian Buloke (5,060lbf)
BERADA di tangga pertama ialah Australian Buloke atau dikenali sebagai ‘kerabat diraja kayu besi’. Ia memegang rekod sebagai kayu paling keras di dunia dengan nilai Janka sebanyak 5,060 pound-force (lbf). Reputasinya secara legenda disifatkan sekeras batu! Ia berkekerasan empat kali ganda kayu oak putih biasa. Struktur selularnya sangat padat dengan dinding sel yang tebal dan resin semula jadi, menjadikannya tahan terhadap serangga, reput dan calar.
Kayu berasal dari Australia ini tidak boleh digergaji dengan gergaji besi biasa kerana ketumpatan dan kekerasannya sangat ekstrem sehingga boleh ‘makan’ bilah gergaji. Kayu ini digunakan untuk lantai perindustrian, zon kegunaan berat dan produk gred ketenteraan.
2- Lignum Vitae (4,500lbf)

BERASAL dari Amerika Tengah dan Amerika Selatan Utara, Lignum Vitae turut tersenarai sebagai kayu paling keras di dunia dengan kepadatan tinggi sehingga boleh tenggelam di dalam air. Nilai Janka untuk kayu ini ialah 4,500lbf.
Turut dikenali sebagai kayu kehidupan, Lignum Vitae mempunyai minyak semula jadi, sekali gus popular digunakan untuk tugas berat dan perindustrian geseran tinggi seperti pemasangan berputar empangan hidroelektrik, galas aci kipas kapal, kapal selam serta kapal wap.
Minyak semula jadi pada kayu ini juga membuatkannya kuat, tidak mudah reput dan dimakan anak-anai. Kini, pokok Lignum Vitae dianggap terancam dan dikawal ketat untuk melindunginya daripada penuaian berlebihan.
3- Snakewood (3,800lbf)

IRANYA yang liar seperti kulit ular, Snakewood sangat keras dengan nilai Janka lebih 3,800+ lbf. Ia mempunyai ketumpatan yang sangat tinggi sekitar 1,300 kilogram per meter padu (kg/m^3).
Disebabkan sangat berat dan padat, ia boleh tenggelam dalam air seperti batu. Kayu ini tahan reput dan serangan serangga. Disebabkan ketumpatan luar biasa ini, kayu tersebut boleh menumpulkan alat pemotong. Oleh kerana kekuatan, ketumpatan dan corak kulit ular seperti harimau bintang yang cantik menjadikannya sangat didambakan untuk kraf tangan mewah termasuk busur, biola dan pemegang pisau.
4- Ipe (3,510lbf)

SETERUSNYA, Ipe dari Amazon terkenal sebagai salah satu kayu paling keras di dunia kerana struktur sel yang sangat ketat, ketumpatan semula jadi dan tinggi dengan kepekatan minyak organik. Nilai Janka untuk kayu Ipe adalah 3,510lbf.
Ipe bukan sahaja popular kerana kekuatannya tetapi juga tahan reput, kalis serangan serangga dan kekal licin selama beberapa dekad.
Memotong kayu Ipe memerlukan alat yang tajam dan kadar potongan yang perlahan dan stabil. Jika tersilap langkah boleh merosakan mata alat pemotong. Oleh kerana sangat padat dan keras, Ipe menjadi pilihan utama untuk binaan mewah luar (outdoor).
5- Cumaru (3,330lbf)

KELIMA ialah Cumaru atau juga dikenali sebagai jati Brazil dengan skor Janka sebanyak 3,330 lbf untuk skala kekerasan kayunya. Cumaru tiga kali lebih keras daripada red oak dan hanya sedikit lebih lembut berbanding Ipe.
Kayunya sangat tinggi dengan minyak semula jadi yang bertindak sebagai pengawet terbina dari dalam, menjadikannya sangat tahan terhadap pereputan dan anai-anai tanpa memerlukan rawatan kimia.
Oleh kerana Cumaru sangat keras dan berdaya tahan, ia sering digunakan untuk tugas berat seperti laluan pejalan kaki, binaan rumah dan jambatan.














