fbpx
Penglibatan Raja Rimba dan sukarelawan lain yang membantu pasukan SAR dalam pencarian Jaslinda mendapat pujian ramai pihak meskipun pendaki wanita itu masih belum ditemui sejak 24 Mei lalu.

[VIDEO] ‘Maaf kak, nanti kami datang cari lagi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang individu dikenali sebagai Raja Rimba memohon maaf kepada orang ramai kerana masih belum berjaya mengesan pendaki wanita yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih, Tapah meskipun pelbagai usaha telah dilakukan sepanjang operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak 24 Mei lalu.

Menerusi satu perkongsian di TikTok, Raja Rimba berkata, ramai pihak telah turun padang membantu pasukan penyelamat dalam usaha menjejaki mangsa, Jaslinda Saludin, 49, yang masih belum ditemukan.

Menurutnya, segala kemampuan dan ikhtiar telah digunakan oleh pasukan yang terlibat sepanjang operasi pencarian tersebut.

“Maaf kak, kami dah buat yang termampu, nanti kami datang cari kak lagi,” katanya menerusi hantaran dimuat naik, semalam.

Perkongsian tersebut mengundang perhatian orang ramai yang rata-ratanya menzahirkan penghargaan kepada semua anggota pasukan SAR serta sukarelawan yang bertungkus-lumus membantu operasi pencarian.

Seorang pengguna, @Umiezaidah mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan mendoakan keselamatan mereka.

“Terima kasih team SAR anda semua memang hebat, semoga semua sentiasa sihat dan sentiasa dalam perlindungan Allah,” katanya.

Seorang lagi pengguna @Rxz turut memuji usaha pasukan yang terlibat dalam operasi berkenaan.

“Mantap team abang Yeen, terima kasih yang terlibat operasi SAR Batu Putih. Mereka semua memang terbaik,” ujarnya.

Dalam pada itu, pengguna dikenali sebagai @AnumZR berharap agar usaha pencarian Jaslinda dipermudahkan dan mangsa dapat kembali ke pangkuan keluarganya.

“Ya Allah, ku mohon dengan sungguh semoga dibukakan jalan seluas-luasnya buat Kak Jaslinda untuk pulang ke pangkuan keluarga. Semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya.

Terdahulu, Jaslinda dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain dan dua malim gunung.

Dia yang cedera di kaki sebelum itu difahamkan berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki yang mengalami masalah pernafasan dan seorang malim gunung di Kem Batu Core.

Bagaimanapun, wanita itu kemudiannya gagal dikesan selepas dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung bersendirian.

Operasi SAR Jaslinda kini diteruskan secara bersasar dalam skala kecil yang diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan menumpukan kawasan yang dikenal pasti mempunyai potensi petunjuk baharu berhubung kehilangan mangsa.

Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Malim Gunung Malaysia, Muzafar Mohamad dilaporkan berkata, penglibatan orang awam serta individu bukan anggota Malim Gunung Perhutanan tidak dibenarkan dalam susulan operasi SAR Jaslinda.

Katanya, keputusan itu dibuat memandangkan laluan Trans Beratih yang menjadi fokus pencarian merupakan trek baharu yang tidak diketahui ramai, termasuk dalam kalangan sebahagian anggota MGP sendiri. – KOSMO! ONLINE

@raja.rimba092♬ original sound – Raja Rimba

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN