fbpx
Gambar hiasaan, janaan AI

Caj kebumi naik: Ada waris terpaksa meminjam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Peningkatan kos pengurusan jenazah ketika ini memberi tekanan kepada sebahagian waris khususnya golongan kurang mampu sehingga ada yang terpaksa meminjam wang bagi mempercepatkan urusan pengebumian ahli keluarga.

Seorang penggali kubur, Muhammad Alfazril Roslan, 25, berkata, situasi tersebut bukan lagi perkara asing apabila terdapat waris yang berdepan kesukaran menyediakan wang mencukupi untuk menguruskan jenazah.

Menurutnya, kos keseluruhan melibatkan mandi jenazah, kafan dan pengebumian boleh mencecah antara RM2,000 hingga RM3,000 bergantung kepada lokasi serta keperluan semasa.

“Sekarang ini kos pengurusan jenazah memang meningkat. Ada keluarga yang terkejut apabila dimaklumkan jumlah sebenar yang perlu disediakan bagi urusan itu.

“Nasib baik ada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang sanggup membantu keluarga susah terutama dalam urusan mandi jena­zah serta penyediaan kain kafan,” katanya kepada Kosmo!

Katanya, terdapat waris yang terpaksa meminjam wang daripada saudara-mara atau kenalan demi memastikan urusan pengebumian dapat dilakukan segera.

“Biasanya bila berlaku kematian mengejut, waris kelam-kabut mencari wang kerana mahu urusan pengebumian dibuat secepat mungkin. Saya pernah lihat ada keluarga yang terpaksa tangguh beberapa urusan sementara menunggu bantuan atau pinjaman daripada ahli keluarga lain,” ujarnya.

Seorang lagi penggali kubur, Mohd. Jamil Zadi, 38, berkata, ramai waris terkejut apabila me­ngetahui kos sebenar tapak kubur yang semakin meningkat di beberapa kawasan.

“Ramai tak sangka kos kubur sekarang semakin tinggi berbanding dahulu terutama di kawasan bandar. Keadaan itu menyebabkan ada keluarga mula sedar pentingnya membuat simpanan khas atau pelan perlin­dungan untuk kegunaan ketika berlaku kematian,” katanya.

Katanya, berdasarkan pengalamannya terdapat banyak kes keluarga susah yang dibantu hasil kutipan derma orang ramai dan pertubuhan kebajikan.

“Kalau tiada bantuan seperti itu, ada waris yang mungkin lebih terbeban kerana kos pengurusan jenazah sekarang bukan lagi murah,” katanya.

Seorang lagi penggali kubur, Mohd. Saiful Mat Jan, 41, berkata, masih ramai memandang ringan kepentingan membuat persediaan awal berkaitan kos pengurusan jenazah.

“Bila berlaku kematian secara tiba-tiba, ramai waris jadi panik sebab tidak mempunyai simpanan kecemasan untuk urusan pengebumian.

“Ada keluarga yang akhirnya bergantung kepada sumbangan masjid, jiran-jiran dan kenalan rapat bagi memastikan semua proses dapat diselesaikan de­ngan lancar,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melaksanakan kadar caj baharu pengurusan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) diselianya bermula 15 Mei lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN