KUALA LUMPUR – Polis mengesan anak warga emas ditahan pihak berkuasa Nigeria atas cubaan menyeludup sebanyak 31 kilogram (kg) dadah jenis Canadian Loud baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, usaha mengesan anak wanita itu masih diteruskan termasuk dakwaan warga emas berusia 63 tahun terebut diperangkap anak sendiri.
Terdahulu, Ting Hung Kiong dilaporkan ditahan pada 17 Mei lalu oleh Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang Dadah Kebangsaan Nigeria (NDLEA) sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Murtala Muhammed di Lagos, Nigeria.
Difahamkan, wanita warga Malaysia melalui proses naturalisasi itu tiba di Nigeria menerusi penerbangan dari Thailand dan transit di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Dalam keterangannya kepada pihak berkuasa, wanita itu mendakwa perjalanan tersebut dibiayai oleh anak perempuannya.
Dia turut memaklumkan berada di Thailand selama hampir dua minggu sebelum menerima satu bungkusan yang diminta untuk dihantar ke Nigeria. – KOSMO! ONLINE














