SEREMBAN – Notis pemakluman rasmi berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini bagi membolehkan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) dilaksanakan.
Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd. Rahman berkata, beliau akan menandatangani notis tersebut sebelum dihantar kepada SPR untuk tindakan selanjutnya.
Menurutnya, penyerahan notis itu bertujuan memaklumkan secara rasmi kepada suruhanjaya tersebut mengenai pembubaran DUN yang diperkenankan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir semalam.
“Selepas saya menandatangani notis tersebut, ia akan dihantar kepada SPR hari ini. Terpulang kepada SPR untuk menentukan tarikh yang sesuai bagi mengadakan PRN,” katanya ketika dihubungi.
Semalam Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan DUN Negeri Sembilan dibubarkan berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada PRN ke-16.
Pada PRN tahun 2023, gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menguasai 31 daripada 36 kerusi DUN. PH dan BN masing-masing memenangi 17 dan 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional memperoleh lima kerusi. – KOSMO! ONLINE














