PETALING JAYA – Walaupun sudah sedekad menjalani rawatan dialisis, harapan untuk menerima buah pinggang baharu tidak pernah padam dalam kamus hidup Mohammad Hasrori Mat Ersat.
Pada usia 33 tahun, anak sulung daripada tiga beradik itu masih mengimpikan kehidupan normal tanpa perlu bergantung dengan mesin dialisis sebanyak tiga kali seminggu.
Mohammad Hasrori berkata, kehidupannya berubah selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir pada usia 23 tahun sebaik tamat pengajian di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Muadzam Shah, Pahang.
“Doktor Hospital Selayang memaklumkan buah pinggang saya sudah rosak dan perlu menjalani dialisis. Rasa dunia gelap seketika kerana saya merupakan anak sulung dan mempunyai impian untuk menyenangkan emak ayah.
“Namun saya pula diuji dengan penyakit (buah pinggang) ini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurut pemuda itu, selain menanggung sakit, dia turut berdepan tekanan emosi dan kewangan apabila hilang pekerjaan kerana perlu menjalani rawatan dialisis secara berkala.
“Dialisis bukan rawatan sementara, tetapi seumur hidup selagi tidak menerima buah pinggang baharu. Saya hilang pekerjaan, hilang pendapatan dan murung selama hampir dua tahun.
“Banyak syarikat tidak mahu mengambil pekerja dialisis kerana saya perlu keluar awal untuk dialisis yang mengambil masa empat jam (satu sesi) dan dilakukan tiga kali seminggu,” ujarnya.
Bagaimanapun, Mohammad Hasrori tidak berputus asa dan akhirnya membina kerjaya sebagai penasihat kewangan serta takaful.
Selepas 10 tahun menjalani dialisis, pemuda itu masih berharap dia mendapat peluang untuk menerima organ daripada individu lain.
“Saya memang berada dalam senarai menunggu, tetapi saya tahu terlalu ramai pesakit sedang menunggu organ sedangkan jumlah pendermanya masih rendah.
“Setiap hari saya menunggu satu harapan. Saya mahu merasai semula kehidupan normal, tidak perlu bergantung kepada mesin dan boleh menikmati masa seperti orang lain,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Syahmi Azman, 31, pula berkata, dia disahkan menghidap penyakit buah pinggang tahap akhir pada 2019 ketika berusia 23 tahun selepas antibodi badannya menyerang organ itu sehingga rosak sepenuhnya.
Penjawat awam itu berkata, ketika ini dia menjalani rawatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) atau dialisis air yang dilakukan sendiri di rumah empat kali sehari.
“Setiap sesi mengambil masa kira-kira 20 hingga 30 minit. Kaedah ini lebih fleksibel untuk individu yang bekerja. Saya boleh melakukannya ketika waktu rehat tanpa berkunjung ke pusat dialisis,” katanya.
Menurut anak ketiga daripada lima beradik itu, dia turut berada dalam senarai menunggu untuk pemindahan buah pinggang dan menganggap transplantasi sebagai peluang kedua untuk menjalani kehidupan yang lebih baik bersama keluarga.
“Doktor beritahu saya mungkin perlu menunggu lima hingga enam tahun lagi. Sudah tentu saya berharap ada peluang untuk menerima buah pinggang baharu.
“Satu pendermaan organ bukan sahaja memberi peluang kedua kepada pesakit, malah membolehkan mereka kembali menjalani kehidupan yang lebih baik dan memberi manfaat kepada keluarga serta masyarakat,” katanya.














