KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) mencadangkan Harimau Malaya wajar dikembalikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bukannya dijaga oleh entiti luar.
Walaupun audit yang dilakukan menunjukkan FAM tidak berada pada tahap memuaskan, AFC berpendapat adalah lebih baik Harimau Malaya kembali ‘dijaga’ badan induk bola sepak kebangsaan.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, berdasarkan penelitian yang dilakukan oleh pihaknya, adalah lebih baik FAM kembali menguruskan pasukan kebangsaan.
“Kita sudah buat cadangan, pulang balik (Harimau Malaya) kepada FAM menerusi Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan. Mereka yang sepatutnya menguruskan skuad kebangsaan seperti dulu,” katanya.
Untuk rekod, Harimau Malaya kini sedang dikendalikan oleh pengurusan berasingan sejak Disember 2024 yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Rob Friend.
Antara tujuan utama skuad negara diuruskan oleh pengurusan itu adalah untuk memastikan pasukan diuruskan secara professional dan memacu pasukan ke arah lebih baik.
Bagaimanapun, Harimau Malaya sebelum ini dipalit dengan isu pemalsuan tujuh pemain warisan hingga mengakibatkan FAM dikenakan denda dan semua ‘Harimau Malaya import’ turut didenda dan digantung 12 bulan.
Ekoran itu, Harimau Malaya juga dikenakan pemotongan enam mata hingga menyaksikan pasukan kebangsaan gagal layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027 dan ketika ini terpaksa ‘berehat’ tanpa sebarang aksi berkelas antarabangsa.














