LIMA tahun menceburkan diri dalam dunia lakonan, rezeki pelakon meningkat naik, Nia Atasha tidak putus. Biarpun kurang menyerlah, ada sahaja wajahnya menghiasi drama televisyen.
Namun, siapa sangka di sebalik segala rezeki yang mencurah, pelakon berusia 29 tahun itu memendam rasa kerana kerap diberikan watak sama berulang kali.
Antara karakter yang sering diterimanya adalah watak sampingan untuk filem seram. Situasi tersebut membuatkan dirinya berasa seperti tidak diberi peluang dan kepercayaan untuk memegang watak berbeza.
“Saya menceburi dunia lakonan selepas pandemik Covid-19, sekitar lima tahun lalu dan dalam tempoh itu, masih belum diberikan peluang memegang watak utama untuk filem.
“Kalau drama, sudah dua kali jadi watak utama tetapi selebihnya hanya watak sampingan atau pembantu. Watak pun lebih kurang sama, semuanya tersekat di situ saja.
“Situasi tersebut membuatkan saya terfikir sama ada diri saya sudah distereotaip untuk sesetengah watak yang mungkin kerana penampilan saya?” katanya kepada HibGlam.
Dia yang seorang model juga mengakui pengulangan watak sama mencetuskan rasa bosan sehingga hilang keseronokan untuk berlakon.
“Mungkin stereotaip sebegitu normal disebabkan ketinggian dan ciri-ciri model yang ada pada saya untuk watak ‘cool’ dan aksi yang serius.
“Tidak mengapa pun untuk watak sebegitu sebab saya memang suka genre aksi tetapi kalau selalu sangat buat, jadi macam bosan.
“Kemudian saya rasa tidak diberi kepercayaan untuk mencuba watak lain dan menunjukkan kepada dunia perkara lain yang mampu dilakukan.
“Lama-kelamaan, saya rasa tak boleh teruskan kalau benda sama saja jadi,” katanya lagi.
Akuinya, semua itu membuatkan dia mengambil keputusan untuk berehat dari dunia lakonan kerana berasakan tiada ruang untuk dirinya untuk mendapat apa yang diinginkan.
“Saya maklumkan kepada pengurus hasrat mahu berehat yang mungkin baginya terlalu awal untuk ambil tindakan sebegitu, namun dia hanya menganggap saya ingin bercuti.
“Memang ada saja tawaran lakonan tetapi tiada yang buatkan saya teruja.
“Bukan nak cakap saya pelakon yang hebat tetapi sebagai pendatang baharu, saya nak serlahkan potensi diri dan percaya boleh berikan yang terbaik,” jelasnya.
Namun, tempoh ‘percutian’ tersebut hanya berlaku dalam masa yang singkat apabila tawaran untuk filem romantik komedi, Kata Hati muncul.
Akhirnya..
Lebih manis, genre sebegitu yang menjadi sasarannya sejak bergelar pelakon dan tidak lagi menoleh belakang apabila diberikan peluang memegang watak utama.
“Bila dapat tawaran ini, saya terus menjerit, akhirnya! Bukan filem sulung tetapi kali pertama pegang watak utama dalam naskhah sebesar ini.
“Ini yang saya inginkan sebab orang selalu cakap fizikal dan visual saya tidak sesuai untuk genre sebegini, bagi mereka, muka saya garang dan watak yang tepat iaitu perempuan simpanan, penyondol dan antagonis.
“Tidak mengapa pun dilabel sebegitu tapi masalahnya tiada pun tawaran. Kata Hati hadir tepat pada waktunya walaupun agak gemuruh ketika menghadiri uji bakat,” katanya.
Paling membuatkannya teruja apabila bergandingan dengan Yusof Hashim atau Ucop dan Fazziq Muqris yang sudah lama dikenalinya.
“Keserasian bukan isu besar sebab kami bertiga sudah lama kenal antara satu sama lain.
“Seronok kerja dengan mereka termasuk pengarah, Nadiah Hamzah yang berani ambil risiko mengetengahkan wajah-wajah segar untuk filem ini,” tuturnya yang memegang watak sebagai Ayra Natasha.
Meski bergenre romantik komedi, filem ini menuntut perubahan besar untuk karakter yang dipegangnya termasuk memotong rambut dan tukar warna kening.
“Nadiah minta saya potong rambut sebab mahu nampak lebih manis, tidak terlalu wajah ‘editorial’. Saya okey dan ikut sahaja, tiada masalah.
“Kemudian dia nak ‘lembutkan’ lagi wajah saya dengan minta ‘bleach’ kening sebab katanya terlalu hitam dan tebal. Hakikatnya, saya sangat suka kening ini.
“Tapi tak mengapa, saya turutkan saja sebab memang sangat inginkan watak ini. Banyak juga pengorbanan saya untuk Kata Hati, harap dapat tempat di hati peminat filem tempatan,” akhirinya.














