WASHINGTON – Dewan Perwakilan senalam meluluskan resolusi mengarahkan pengunduran tentera Amerika Syarikat daripada perang Iran, langkah bersifat simbolik, namun memberikan tamparan politik kepada Presiden Donald Trump.
Empat wakil rakyat Parti Republikan pimpinan Trump menyertai anggota Demokrat dalam menyokong langkah itu. Resolusi itu diluluskan dengan undi 215-208 tetapi dijangka berdepan kuasa veto Presiden AS.
“Ini adalah mesej lantang dan tidak berbelah bahagi kepada Presiden Trump bagi pihak rakyat Amerika. Sudah tiba masanya untuk beliau menamatkan perang pilihannya di Iran yang sangat tidak popular dan menyalahi undang-undang,” kata ahli-ahli Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri Demokrat di platform X.
Langkah itu menandakan kali pertama Dewan Perwakilan yang dikuasai Parti Republikan meluluskan langkah yang bertujuan memaksa Trump untuk mengurangkan operasi ketenteraan terhadap Tehran sejak perang bermula tiga bulan lalu.
Parti Demokrat melihat undian itu sebagai titik perubahan yang berpotensi dalam usaha untuk menegaskan semula peranan Kongres dalam membuat keputusan mengenai perang dan keamanan.
Pentadbiran Trump bertegas bahawa perang ke atas Iran sudah berakhir, walaupun berlaku insiden berbalas serangan yang berterusan antara tentera kedua-dua pihak dan sedikit tanda kemajuan sebenar dalam rundingan damai.
Parti Demokrat menuduh Trump melanggar Perlembagaan dengan melancarkan serangan ke atas Iran bersama Israel pada akhir Februari lalu tanpa kebenaran Kongres. – AFP













