JEMPOL – Seorang warga emas yang hilang sejak Ahad lalu dalam kebun sawit milik di Felda Palong 3 ditemukan oleh pekerja ladang di kawasan ladang sawit Palong 4, di sini, tengah hari tadi.
Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Jefri Jamal berkata, mangsa telah dijumpai kira-kira pukul 12.10 tengah hari di lokasi yang berjarak 3.5 km dari kawasan mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk di bawa ke Klinik Kesihatan Palong 4, 5 & 6 bagi pemeriksaan kesihatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, di sini, hari ini.
Kelmarin, media melaporkan Abdullah Alias, 78, dikatakan keluar ke kebun sawit dari rumahnya kira-kira pukul 5 petang sebelum gagal dikesan dan operasi mencari dan menyelamat dilancarkan Isnin lalu.
Sementara itu, menantu mangsa, Nursyazwani Yussharizal, 32, berkata, mereka sekeluarga berasa sangat lega lebih-lebih lagi ayah mentuanya ditemukan dalam keadaan selamat. – KOSMO! ONLINE














