fbpx
PENYANYI dan komposer Peabo Bryson meninggal dunia akibat serangan angin ahmar pada usia 75 tahun hari ini.

Bintang legenda Peabo Bryson meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGHIBUR legenda R&B, Peabo Bryson yang terkenal dengan lagu Beauty and the Beast dan A Whole New World meninggal dunia pada usia 75 tahun, hari ini.

Berita pemergian penyanyi dan komposer itu disahkan keluarganya yang memaklumkan Bryson menghembuskan nafas terakhir akibat serangan angin ahmar.

“Kami amat terharu dengan limpahan kasih sayang, doa dan sokongan yang diberikan oleh peminat, rakan-rakan serta rakan sekerja dari seluruh dunia.

“Walaupun hati kami hancur dengan pemergiannya, kami gembira mengetahui besarnya kasih sayang yang diterima Peabo Bryson dan bagaimana suaranya serta sifat pemurahnya menyentuh begitu banyak kehidupan.

“Legasi dan muziknya akan terus hidup untuk generasi akan datang,” tulis kenyataan rasmi itu.

Sepanjang kerjaya seninya, Bryson amat dikenali menerusi gandingan duet ikonik banyak lagu tema filem animasi Disney terutama Beauty and the Beast bersama Celine Dion pada tahun 1991 yang meraih sambutan luar biasa di peringkat global.

Setahun selepas itu, dia melakar sejarah apabila bergandingan dengan Regina Belle menerusi lagu A Whole New World bagi filem Aladdin, sekali gus menjadi lagu tema animasi pertama yang berjaya menduduki tangga nombor satu dalam carta Billboard Hot 100.

Membina kerjaya cemerlang selama lebih lima dekad sebagai antara penyanyi balada R&B paling berpengaruh, mendiang turut membawa pulang dua trofi Grammy.

Beliau juga menghasilkan pelbagai lagu popular lain termasuk Feel the Fire, I’m So Into You serta Can You Stop the Rain.

“Selama lebih lima dekad, suara luar biasa Peabo menjadi latar kepada pelbagai detik istimewa dalam kehidupan ramai orang.

“Muziknya mengiringi generasi demi generasi dalam saat kegembiraan, kisah cinta dan momen yang memberikan ketenangan serta inspirasi,” menurut kenyataan itu lagi.

Dilahirkan dan dibesarkan di South Carolina, Amerika Syarikat (AS), Bryson bermula dengan kumpulan Moses Dillard and the Tex-Town Display pada era 1970-an sebelum menandatangani kontrak sebagai artis solo bersama Bang Records yang berpangkalan di Atlanta.

Selain bidang muzik, Bryson juga pernah terbabit dalam beberapa pementasan teater termasuk Raisin, The Wiz dan Porgy and Bess.

Bryson dilaporkan mengalami strok pada penghujung Mei lalu sebelum menerima rawatan rapi.

Sebelum itu, pada 2019, beliau dikatakan sudah pulih sepenuhnya selepas mengalami serangan jantung ringan.

Dalam kenyataan sama, keluarganya memaklumkan butiran mengenai majlis penghormatan terakhir
akan diumumkan dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN