GEORGE TOWN – Sekumpulan penunggang motosikal tular selepas mereka bertindak mengejar sebuah kereta jenis Mazda 6 Hatchback yang dipercayai terlibat jenayah mencuri kabel telemomunkasi di Batu Uban, di sini.
Menerusi video berdurasi satu minit 24 saat itu, lebih 10 anak muda terdiri penunggang dan pembonceng motosikal dilihat beramai-ramai mengejar kereta tersebut sehingga menyebabkan pencuri terpaksa meninggalkan kabel yang diseret.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian tersebut daripada seorang juruteknik Telekom Malaysia (TM) berusia 41 tahun, pada pukul 10.50 pagi tadi.
Menurutnya, pengadu memaklumkan telah menonton satu rakaman video tular berdurasi kira-kira pukul 7 pagi yang memaparkan kegiatan mencuri kabel di tepi Jalan Batu Uban 1.
“Susulan itu, pengadu telah membuat pemeriksaan di lokasi sebelum mendapati kabel telekomunikasi milik TM sepanjang kira-kira 70 meter dipercayai telah dipotong dan dilarikan. Kerugian akibat kejadian tersebut dianggarkan bernilai RM17,000,” katanya di sini, tadi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai menggunakan sebuah kenderaan jenis Mazda 6 Hatchback berwarna gelap ketika melakukan kegiatan berkenaan.
Katanya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan individu yang terlibat dengan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. KOSMO! ONLINE














