PETALING JAYA – Dua mangsa yang cedera dalam tragedi kemalangan ngeri di Simpang Renggam, Johor menjadi individu pertama menerima manfaat di bawah Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) atau Lindung 24 Jam yang mula berkuat kuasa semalam.
Mangsa terbabit, Husnizam Hisamudin, 43, dan Muhammad Amirul Hazim Misnon, 22, disahkan sebagai pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), sekali gus melayakkan mereka menerima pelbagai faedah yang disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kedua-dua mangsa layak menerima bayaran cuti sakit dan faedah kecacatan kekal selain kemudahan rawatan, implan, peralatan pemulihan serta rehabilitasi tanpa had mengikut keperluan.
“Maklumat awal perubatan menunjukkan Husnizam mengalami kecederaan pada bahu dan tangan, manakala Muhammad Amirul cedera di bahagian mulut.
“Ramai memahami bahawa Perkeso memberi perlindungan apabila kemalangan berlaku di tempat kerja atau semasa menjalankan tugas. Namun melalui Lindung 24 Jam, perlindungan sosial kini diperluaskan kepada kemalangan yang berlaku di luar skop pekerjaan termasuk pada hari cuti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, tragedi itu membuktikan musibah boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa mengira waktu dan lokasi, justeru skim baharu tersebut memastikan pencarum dan keluarga mereka terus mendapat perlindungan sewajarnya ketika berdepan kesukaran.
Dalam perkembangan sama, waris kepada tiga mangsa yang maut dalam kemalangan tersebut turut layak menerima faedah di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 menerusi perlindungan Lindung Pekerja.
Mohammed Azman berkata, sejurus kejadian berlaku, Skuad Perkeso Prihatin telah digerakkan bagi menyemak maklumat semua mangsa serta menghulurkan bantuan kepada mereka yang layak.
Katanya, pelaksanaan Lindung 24 Jam memperluaskan perlindungan kepada pencarum tanpa mengira waktu dan lokasi kejadian, sekali gus menutup kelompangan perlindungan yang wujud sebelum ini.
“Perkeso merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan berharap bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban mereka.
“Ini membuktikan setiap caruman yang dibuat oleh pencarum Perkeso tidak pernah sia-sia kerana ia digunakan untuk membantu mereka yang ditimpa musibah. Kita mahu menyediakan benteng keselamatan sosial yang mampan dan utuh apabila musibah melanda tanpa diduga,” katanya. – KOSMO! ONLINE.














