KOTA TINGGI – Keputusan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak akan menjejaskan hubungan serta kerjasama antara parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa landskap politik negara ketika ini menyaksikan pelbagai bentuk kerjasama dan pentadbiran di peringkat negeri serta pusat.
Menurut beliau, situasi berbeza antara kerajaan negeri dan Persekutuan bukan sesuatu yang luar biasa dalam politik semasa kerana setiap negeri mempunyai dinamik politik tersendiri.
“Kerajaan Perpaduan masih ada, tetapi kita perlu menerima hakikat bahawa keadaan politik sekarang tidak sama seperti dahulu. Dalam politik hari ini, tidak mungkin ada mana-mana parti yang mendominasi sepenuhnya.
“Mungkin di peringkat pusat kerajaan berbentuk Perpaduan, di negeri lain kerajaan Barisan Nasional (BN), manakala di negeri tertentu ada parti lain menerajui pentadbiran. Itulah realiti politik yang sedang berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa dan Teksi di Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang di sini hari ini.
Mengulas pembubaran DUN Johor, Ahli Parlimen Kota Tinggi itu menyifatkan langkah berkenaan sebagai tepat pada masanya memandangkan negeri itu hanya berbaki beberapa bulan sebelum tamat penggal pada April tahun depan.
Katanya, jika PRN diadakan pada penghujung tahun, ia berisiko bertembung dengan musim hujan dan banjir, manakala awal tahun hadapan pula akan disusuli Ramadan serta Aidilfitri.
Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor bagi membolehkan PRN diadakan dalam tempoh 60 hari seperti yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri.-KOSMO! ONLINE














