KESEDARAN terhadap kebajikan dan kelangsungan hidup haiwan jalanan menjadi inspirasi kepada pembangunan mesin kitar semula yang mampu membantu menyediakan makanan kepada kucing atau anjing terbiar.
Mesin pintar kitar semula itu memiliki fungsi unik apabila pengguna boleh menukar botol plastik terpakai kepada makanan haiwan.
Teknologi berasaskan Internet of Things (IoT) yang dikenali sebagai Reverse Vending Machine (RVM) itu bukan sahaja membantu mengurangkan sisa plastik, malah memastikan haiwan jalanan mendapat sumber makanan secara berterusan.
Menurut Pengasas Organisasi Kebajikan Yapomoga, Rufat Rajmov, mesin layan diri ciptaannya yang popular dengan gelaran ‘Yapomogabox’ itu mula dipasang di kawasan perumahan di Kyiv, Ukraine sekitar 2020.
Katanya, dalam tempoh dua minggu beroperasi, mesin pertama di kawasan itu berjaya mengumpul sekitar 145 kilogram (kg) botol plastik.
Menariknya, mesin itu juga menjadi ‘bank’ makanan buat haiwan jalanan ketika sekatan pergerakan disebabkan pandemik Covid-19 kerana banyak restoran dan kedai makan ditutup.
“Kemudahan ini boleh mendidik masyarakat tentang kelebihan kitar semula yang baik untuk alam sekitar sambil membantu haiwan terbiar.
“Golongan ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak mereka untuk melahirkan sifat simpati bukan sahaja pada binatang tetapi pentingnya menjaga Bumi.
“Kanak-kanak sangat digalakkan untuk menggunakan mesin ini dan menjadikan aktiviti kitar semula sebagai ‘ritual’, di mana mereka akan mengumpul botol untuk memberi haiwan makan,” katanya.

Setiap botol plastik yang dimasukkan akan mengeluarkan kira-kira 20 gram (g) berat makanan haiwan, manakala 50 botol bersamaan 1kg.
Dari aspek teknologi, mesin Yapomogabox menggunakan sistem sensor automatik bagi mengesan baki makanan pada bahagian bawah mangkuk makanan.
Sensor itu akan aktif dan melakukan sekatan automatik sekiranya mangkuk sudah penuh dengan makanan yang belum dimakan.
Mesin akan berhenti mengeluarkan makanan baharu, walaupun orang ramai memasukkan lebih banyak botol.
Memetik laporan Tech Machine, mesin tersebut menggunakan sistem kredit simpanan (pay if forward) iaitu lebihan botol yang dimasukkan akan disimpan sehingga waktu memerlukan.
“Makanan tersebut hanya akan dikeluarkan secara automatik berdasarkan waktu tertentu terutama apabila bekas makanan kosong.
“Sebaik sahaja sensor mengesan mangkuk sudah kosong (berat menjadi ringan), komputer mesin akan memberi arahan untuk mengeluarkan baki makanan daripada kredit botol yang telah disimpan,” katanya.
Mesin Yapomogabox kini sudah memasuki model Yapomogabox 3.0 yang turut dilengkapi dengan paparan skrin sentuh bagi membuat pilihan sama ada ingin mengitar semula botol atau bayaran secara online.
Bagi mesin yang diletakkan di kawasan perumahan biasa, pihak Yapomoga atau lori kitar semula akan datang mengutip botol sekitar tiga hingga empat kali seminggu.
Selain Yapomoga, langkah sama turut diambil oleh syarikat Pugedon yang berpangkalan di Turkiye apabila menempatkan mesin kitar semula botol plastik untuk ditukarkan kepada makanan haiwan di kawasan awam.
Istanbul menjadi lokasi pertama menempatkan mesin digelar MamaMatik yang bermaksud makanan haiwan automatik.
Antara komponen utama digunakan termasuk sensor berat, sensor pengimbas botol, mikro pengawal, motor dispenser makanan serta Wi-Fi untuk sambungan internet.

Mempunyai sistem kitar semula dua dalam satu, mesin tersebut bukan sahaja menerima botol plastik, malah terdapat corong khas untuk pengguna membuang baki air minuman yang tidak habis.
Air tersebut akan ditapis dan masukkan terus ke dalam minuman haiwan di bahagian bawah mesin.
“Mesin ini beroperasi pada kos sifar kerana menggunakan sistem solar untuk memastikan kekal berfungsi. Sementara kos makanan haiwan pula ditampung sepenuhnya oleh hasil jualan botol plastik yang dikumpul dan dikitar semula.
“Terdapat satu panel solar diletakkan pada permukaan atas mesin yang mampu menjana kuasa sekitar 100W hingga 200W,” lapor agensi berita, Sisli News.
Sebuah bateri (deep cycle) berkapasiti sekitar 12V 40Ah hingga 100Ah diletakkan dalam mesin yang berfungsi sebagai sistem simpanan tenaga.
Langkah itu bagi memastikan mesin dapat berfungsi selama 24 jam terutama pada waktu malam dan hujan. Hal ini kerana kucing jalanan sangat aktif mencari makanan sekitar 1 pagi hingga 6 pagi.
Tenaga dihasilkan digunakan bagi fungsi sensor, komponen IoT iaitu motor DC (penapis air) dan memusingkan mekanisme pengagih makanan yang berat.
Bagi mengelakkan pembaziran, mesin ditetapkan kepada had maksimum iaitu tiga hidangan dalam tempoh 10 minit.
“Satu botol yang dikitar semula akan menghasilkan satu hidangan. Namun jika ada individu yang memasukkan empat hingga lima botol serentak, motor dispenser makanan akan tetap menetapkan tiga hidangan sahaja ke dalam mangkuk makanan.
“Sensor di bawah mangkuk akan memantau jumlah baki makanan, dan hanya akan mengeluarkan hidangan jika berat makanan kurang daripada 100g,” ujar laporan tersebut.
Walaupun model asal tidak menggunakan kamera untuk mengesan haiwan, namun beberapa prototaip terkini mula dilengkapi kamera pintar dan sensor gerakan berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Langkah itu bagi mengenal pasti kehadiran kucing atau anjing, selain mengelakkan haiwan lain seperti tikus dan burung daripada mengganggu makanan.
Difahamkan pelbagai model mesin MamaMatik telah digunakan di seluruh Turkiye sejak mula diperkenalkan sekitar tahun 2014 termasuk jenis bayaran menggunakan wang syiling.
Model Pugedon yang beroperasi di Alanya mengenakan bayaran 1 lira (RM0.09) sebagai tarikan baharu negara berkenaan.
Sementara model lain diletakkan di kawasan awam seperti taman permainan kanak-kanak, sekolah, taman rekreasi, laluan pejalan kaki dan berhampiran pusat beli-belah.
Dianggarkan setiap 1 lira akan mengeluarkan kira-kira 20g hingga 30g makanan haiwan. Jika makanan dalam mangkuk masih penuh, slot wang syiling akan ditutup secara automatik bagi mengelak pembaziran makanan haiwan.
Selain Ukraine dan Turkiye, negara lain yang turut menggunakan teknologi ini termasuklah Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Romania dan Itali.
Secara ringkas, inisiatif pintar ini secara tidak langsung berjaya memastikan kebajikan anjing dan kucing jalanan terjamin, di samping membuktikan teknologi mampu menghasilkan inovasi hebat.
Pada masa sama, teknologi boleh mendidik masyarakat agar bijak mengurus sisa buangan mereka.














