fbpx
DARI kiri, Sathiskumar, Awang Mohamaad Amie, Nisha dan Laura antara kanak-kanak yang masih hilang dan gagal dijejaki sehingga kini.

140 orang masih hilang, di mana mereka?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seramai 140 individu termasuk kanak-kanak, remaja dan orang dewasa dila­por­kan masih hilang di seluruh negara dengan 28 daripadanya membabitkan mereka yang ber­usia antara satu hingga 12 tahun.

Menerusi semakan di portal ras­mi individu hilang Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga sema­lam, seramai 30 individu yang masih dicari meliputi remaja berusia 13 hingga 17 tahun, manakala 82 orang lagi terdiri daripada golongan dewasa.

Semakan Kosmo! mendapati, se­bahagian kes kehilangan tersebut masih belum menemui petunjuk walaupun ada antaranya telah dilaporkan sejak lebih dua dekad lalu.

Kehilangan mereka terus menjadi tanda tanya kepada ahli ­keluarga dari sudut keselamatan termasuk sama ada masih ber­nyawa atau ditimpa tragedi.
Bagi kategori kanak-kanak, an­tara kes paling lama direkodkan ialah seorang kanak-kanak pe­rem­puan, C. Nisha yang hilang di Mentakab, Pahang ketika berusia dua tahun pada 4 Jun 2010.

Turut tersenarai ialah T. Sathiskumar yang dilaporkan hilang di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada 2012 selain Low Min You yang dilaporkan hilang di Sabah pada 2014 masing-masing ketika berusia lima dan tiga tahun.

Portal sama turut memaparkan beberapa kes kehilangan membabitkan kanak-kanak termasuk Puteri Nurardiana Damia Qaisara Abdullah, Patrick Igih serta Kamelia Anap yang dilaporkan hilang di Hutan Temengor, Perak pada 2022 ketika berusia sembilan tahun.

Bagi kategori remaja, portal berkenaan merekodkan puluhan kes baharu sepanjang tahun ini membabitkan pelbagai ­negeri termasuk Selangor, Sabah, Sarawak, Kedah, Kelantan, Pulau Pinang dan Melaka.

Antara yang masih dicari ialah Muhammad Rayyan Adwan Mohamed Zahir, 14, dari Gelugor, Pulau Pinang yang dilaporkan hilang pada 26 Mei lalu selain Awang Mohamaad Amie Izwan Awang Mahajir, 16, dari ­Kuching, Sarawak yang hilang sehari ­sebelumnya.

Selain itu, pencarian masih dijalankan bagi mengesan Mohd. Alif Erfan Abdullah, 16, dari Bukit Beruntung, Rawang dan Laura Kate Antony, 16, dari Seri Kembangan.

Sementara itu, portal rasmi PDRM turut merekodkan seramai 82 kes individu dewasa yang masih belum ditemukan sehingga kini. Kehilangan mereka antara yang menjadi tanda tanya.

Antara kes paling lama direkodkan membabitkan Yusadirawani Mohd. Yusof dari Pasir Puteh, Kelantan yang dilaporkan hilang sejak Julai 2004 selain Sureskumar Mani dari Butterworth, Pulau Pinang yang hilang pada September 2005.

Turut tersenarai ialah Abidin Zulkarnain dari Kota Kinabalu, Sabah yang dilaporkan hilang pada Julai 2008 selain beberapa lagi individu lain termasuk Cheh Pui Kit dari Melaka dan Kolda Koiki dari Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN