JAKARTA – Satu kaji selidik baru-baru ini mendapati kos operasi ‘memakan’ sebahagian besar pendapatan bulanan pemandu perkhidmatan e-hailing di Indonesia, mengurangkan pendapatan bersih bulanan kepada cuma 1.7 juta rupiah(RM379), lapor laman berita Jakarta Globe semalam.
Pusat penyelidikan Institut Kajian Demografi dan Kemakmuran(IDEAS) melakukan kaji selidik berkenaan pada Disember 2025, beberapa bulan sebelum Presiden Prabowo Subianto mendedahkan rancangan untuk menaikkan gaji pemandu teksi motosikal e-hailing, Mei lalu.
IDEAS melaporkan, pemandu teksi motosikal tersebut atau dikenali sebagai ‘ojol’ memperoleh pendapatan bersih bulanan 1.7 juta rupiah pada 2025, merosot berbanding 2.9 juta rupiah(RM646) dalam tahun 2023. Tinjauan IDEAS mengaitkan penurunan ini dengan peningkatan kos operasi harian.
Kaji selidik itu melibatkan 1,018 pemandu dari 67 bandar dan daerah di Indonesia. Purata pendapatan kasar harian mereka juga menjunam daripada 168,000 rupiah (RM37.50) pada 2023 kepada cuma 126,000 rupiah(RM28) dalam tahun 2025.
Kos operasi harian pula meningkat daripada 53,000 rupiah (RM11.80) kepada 58,000 rupiah (12.95) dalam tempoh sama, merangkumi kira-kira 46 peratus pendapatan kasar mereka.
Tekanan ekonomi mendorong pemandu e-hailing untuk bekerja lebih lama. Kira-kira 51 peratus perlu bekerja antara 9 hingga 12 jam sehari, manakala 55.5 peratus turut mengambil penumpang selama 7 hari berturut-turut.
Kira-kira 50.3 peratus pula pernah kemalangan sejak menyertai aplikasi e-hailing.
“Pekerjaan ojol menjadi nadi pendapatan untuk golongan miskin bandar tetapi dilakukan dalam situasi sangat terdedah (pada bahaya). Risiko kemalangan adalah tinggi, waktu bekerjanya lama, namun mereka menerima perlindungan sosial yang minimum,” kata penyelidik IDEAS, Muhammad Anwar.
Kajian IDEAS menunjukkan potongan tinggi dikenakan oleh pengendali aplikasi e-hailing terhadap pemandu. Kira-kira 53 peratus responden melaporkan dikenakan potongan 20 peratus, manakala potongan boleh berkisar antara 25 hingga 30 peratus untuk sesetengah pemandu ojol.
Promosi juga menjadi cabaran lain, malah ada pemandu mengaku rugi antara antara 2,000 (RM0.45) rupiah hingga 10,000 rupiah (RM2) untuk setiap tempahan.
Aplikasi tersebut juga mengiktiraf pemandu sebagai ‘rakan kongsi’, bukannya pekerja formal. Status ini membolehkan syarikat pengendali mengelakkan tanggungjawab pekerjaan formal walaupun mempunyai kawalan ketara ke atas pemandu. – AGENSI














