SUNGAI BULOH – Sebanyak dua buah kilang musnah selepas terbabit dalam kebakaran di sebuah kawasan perindustrian di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.32 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, anggota bomba yang tiba di lokasi lapan minit kemudian mendapati api sedang marak melibatkan dua premis perindustrian.
“Sebuah kilang menjalankan operasi perkakasan terbakar kira-kira 90 peratus, manakala sebuah premis lagi iaitu kilang perabot terbakar kira-kira 60 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Operasi pemadaman turut dibantu anggota BBP Bukit Jelutong, BBP Subang Jaya, BBP Damansara dan BBP Selayang bagi mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran.
“Seramai 26 anggota terlibat dalam operasi dengan kekuatan empat jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua Water Tanker (WT) dan dua buah kenderaan EMRS,” katanya yang memberitahu punca kebakaran masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE














