PETALING JAYA – Beberapa perkara melibatkan inisiatif dan dasar kerajaan akan dilaksanakan bermula 1 Jun ini termasuk larangan membuka akaun baharu media sosial bagi individu di bawah usia 16 tahun yang bertujuan melindungi kanak-kanak daripada dieksploitasi.
Larangan yang dikuatkuasakan menerusi Kod Perlindungan Kanak-Kanak dan Kod Pengurangan Risiko di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 akan mewajibkan pelaksanaan pengesahan umur untuk pengguna media sosial.
Bermula 1 Jun ini juga rakyat bakal menyaksikan pelaksanaan dasar, peraturan dan inisiatif baharu kerajaan melibatkan aspek keselamatan dalam talian, perlindungan pekerja, pengangkutan, tenaga hijau dan urusan perniagaan.
Selain itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial memperkenalkan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja atau Perkeso Lindung 24 Jam yang memberi perlindungan kepada pekerja sepanjang masa termasuk di luar waktu kerja rasmi.
Dalam sektor kewangan dan automotif pula, Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 akan mula berkuat kuasa dengan pembiayaan kenderaan menggunakan kaedah reducing balance (pengurangan baki) menggantikan Peraturan 78 selepas diwartakan pada 30 Januari lalu.
Pindaan itu juga membolehkan penggunaan tandatangan digital dan dokumen elektronik dalam urusan berkaitan pembiayaan.
Pada masa sama, institusi perbankan bakal menawarkan diskaun ihsan bermula pada tarikh kuat kuasa Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026.
Kerajaan turut memperkenalkan MyKad versi baharu dengan ciri keselamatan dipertingkat termasuk penggunaan kod QR bagi memudahkan urusan pengesahan identiti.
Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri sebelum ini memaklumkan MyKad sedia ada kekal sah digunakan oleh orang ramai dan rakyat tidak perlu berpusu-pusu ke Jabatan Pendaftaran Negara bagi tujuan penggantian.
Dalam usaha menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, pemilik rumah kini boleh memohon rebat sehingga RM3,000 menerusi program rebat solar SuRIA Home bagi pemasangan sistem solar bumbung kediaman bermula 1 Jun hingga 31 Disember depan.
Malaysia juga akan melaksanakan penggunaan campuran biodiesel B15 secara berperingkat bagi menggantikan penggunaan B10 ketika ini.
Bagi membantu usahawan dan pelajar institusi pengajian tinggi, Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma turut diperluaskan dengan menawarkan pengecualian fi pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia sehingga dua tahun kepada golongan layak.
Antara inisiatif lain yang diperkenalkan kerajaan ialah dasar baharu penggajian ekspatriat yang menetapkan syarat lebih ketat termasuk struktur gaji minimum, tempoh penggajian dan pelan penggantian bakat tempatan.
Sementara itu, 1 Jun 2026 turut diisytiharkan sebagai cuti umum sempena sambutan rasmi Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim. – KOSMO! ONLINE















