PASIR MAS – Seorang tukang cat terkejut melihat keadaan ngeri bahagian lengan kanan anaknya yang putus dan berlumuran darah tersangkut di depan sebuah kereta selepas terlibat kemalangan di Jalan Lubok Gong-Jeram Perdah di sini kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, mangsa, Muhammad Luqman Zurul Azli, 19, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal jenis Honda EX5 yang dia tunggang bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda Jazz.
Bapa mangsa, Zurul Azli Awang, 48 berkata, anaknya yang merupakan seorang penganggur keluar dari rumah selepas menunaikan solat asar dengan menunggang motosikal kira-kira pukul 4.45 petang bersama rakan-rakannya pada petang hari pertama Hari Raya Aidiladha.
Katanya, dia menerima panggilan telefon daripada seorang rakannya kira-kira 15 minit kemudian yang memaklumkan Muhammad Luqman terlibat kemalangan.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, saya terkejut melihat bahagian lengan kanan anak tersangkut di depan kereta jenis Honda Jazz dipandu seorang lelaki.
“Muhammad Luqman pula sudah meninggal dunia dengan keadaan bahagian lengannya putus dan kecederaan parah pada tubuh badan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Gual Sitok di sini hari ini.
Zurul Azli memberitahu, nahas yang mengorbankan anaknya itu menyebabkan majlis persandingan dua pasangan pengantin iaitu ibu dan bapa saudara kepada Muhammad Luqman yang sepatutnya berlangsung hari ini dibatalkan bagi menghormati kematian arwah.
Sementara itu, ibu mangsa, Liza Ariffin, 44, berkata, anaknya sempat meminta RM5 untuk membeli air sebelum keluar beraya dengan menunggang motosikal bersama rakan-rakan.
Katanya, arwah Muhammad Luqman yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu menunjukkan perubahan sikap sebelum kemalangan apabila menolak untuk memakai baju berwarna sedondon pada majlis perkahwinan ibu dan bapa saudaranya.
“Arwah maklumkan kepada ibu saudaranya bahawa dia tidak mahu beli baju kerana akan pergi jauh. Sehari sebelum kejadian, arwah dikatakan bercakap dengan motosikal Honda EX5 itu sambil membungkusnya dengan selimut,”katanya.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai menunggang motosikal dengan laju sebelum hilang kawalan sehingga memasuki laluan bertentangan.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan motosikal tersebut bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda Jazz yang berada di laluannya yang sah.
“Remaja itu mengalami kecederaan parah apabila tangan kanannya putus manakala bahagian lain pada tubuh badan cedera dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE














