PETALING JAYA – Individu yang dikesan menyalahgunakan maklumat MyKad milik orang lain tanpa kebenaran bagi transaksi subsidi Budi Madani RON95 (Budi95) bakal berdepan denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan berkata, perbuatan tersebut merupakan kesalahan serius di bawah Peraturan 25 Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Tindakan tegas ini diambil susulan beberapa aduan yang melibatkan dakwaan penggunaan maklumat MyKad tanpa kebenaran bagi mendapatkan manfaat subsidi tersebut tanpa pengetahuan pemilik sebenar.
MoF berkata, semua syarikat peruncit minyak memperketat pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan mewajibkan pengesahan fizikal MyKad terlebih dahulu sebelum sebarang urusan niaga manual dilakukan.
“Langkah-langkah pembetulan turut dikeluarkan, termasuk latihan semula kepada kakitangan barisan hadapan, pemaparan SOP di kaunter pembayaran, serta penyaluran dan pampasan yang bersesuaian.
“Syarikat-syarikat peruncit minyak juga diarahkan untuk menghubungi pemegang MyKad yang terkesan bagi membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut,” katanya.
Bagi penerima Budi95 yang terkesan, mereka digalakkan menyemak rekod transaksi di portal budi95.gov.my dan segera membuat laporan polis sekiranya terdapat transaksi mencurigakan.
Aduan boleh dikemukakan kepada Pusat Khidmat BUDI MADANI (BMCC) melalui talian 1300-88-9595 atau emel [email protected] dengan menyertakan laporan polis serta salinan kad pengenalan. – KOSMO! ONLINE














