KUALA LUMPUR – Syarikat yang memfokuskan kepada penyelesaian sistem simpanan tenaga bateri (BESS), BESSASIA memperkenalkan siri produk terkini iaitu Mobile BESS 60kW/140kWh dan Siri Cabinet BESS yang direka khas untuk membantu industri bagi mengurangkan kos penggunaan tenaga elektrik dan mengoptimumkan penggunaan tenaga semasa waktu puncak.
Ketua Pegawai Eksekutif BESSASIA, Ir Andy Chan berkata, produk tersebut menawarkan ciri bagi meningkatkan kestabilan bekalan tenaga selain menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui seperti solar yang mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
Menurutnya, pengenalan produk itu menandakan komitmen syarikat dalam memperkukuh transformasi tenaga industri menerusi penyelesaian penyimpanan tenaga hijau yang lebih cekap, mampan dan menjimatkan kos operasi bagi sektor pembuatan, logistik, pusat data, utiliti serta industri berat.
“Pelancaran siri BESS ini yang mendapat cetusan idea daripada penggunaan bank kuasa atau power bank merupakan langkah strategik BESSASIA dalam menyediakan penyelesaian tenaga masa hadapan kepada industri di rantau Asia.

“Kami percaya teknologi penyimpanan tenaga akan menjadi komponen penting dalam membantu syarikat mengawal kos operasi dan meningkatkan kecekapan tenaga secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena penyertaannya pada pameran Metaltech & Automex 2026 di MITEC baru-baru ini.
Pada pameran itu, BESSASIA turut mendapat sijil pengiktirafan daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. (SIRIM) sambil disaksikan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Sim Tze Tzin.
Mengulas lanjut, Andy memberitahu, pengiktirafan ke atas Mobile BESS 60kW/140kWh dan Siri Cabinet BESS itu adalah bukti komitmen dan kesungguhan keseluruhan kakitangannya untuk mencapai standard keselamatan yang tinggi. -KOSMO! ONLINE













