PETALING JAYA – Saat pendaki negara, Mohd Khafiz Bachok atau Kicok berdiri megah di puncak Gunung Everest, ada doa keluarga, pengorbanan Sherpa serta sokongan rakan pendaki yang menjadi kekuatan sebenar di sebalik kejayaan bersejarah itu.
Kejayaan menawan gunung tertinggi dunia setinggi 8,849 meter dari aras laut itu bukan sekadar mengenai kekuatan fizikal, tetapi turut menuntut ketahanan mental, disiplin dan semangat untuk terus bertahan dalam keadaan cuaca ekstrem serta kekurangan oksigen.
Menurut Public Health Malaysia (PHM), di sebalik kejayaan seseorang pendaki, terdapat ramai insan yang berkorban demi memastikan misi berakhir dengan selamat.
“Nama mereka mungkin tidak selalu disebut, tetapi tanpa mereka, setiap langkah ke puncak tidak akan berdiri sendiri,” katanya.
PHM berkata, Sherpa memainkan peranan penting dalam membantu pendaki meredah laluan berbahaya selain membawa kelengkapan serta memastikan perjalanan dapat diteruskan dalam keadaan mencabar.
Katanya, keluarga dan sahabat di tanah air pula tidak pernah putus menitipkan doa serta menanti khabar sepanjang hampir dua bulan ekspedisi berlangsung.
Terdahulu, Khafiz berjaya menawan puncak Mount Everest menerusi jalur pendakian di Nepal pada 18 Mei lalu, pukul 5 pagi waktu tempatan.
Difahamkan, beliau menjadi rakyat Malaysia ke-30 berjaya menakluki gunung tertinggi dunia itu. – KOSMO! ONLINE














