SEOUL – Ahli-ahli kesatuan sekerja Samsung Electronics semalam meluluskan tawaran pihak pengurusan untuk bonus tahunan sangat lumayan sekali gus mengelakkan mogok besar-besaran ketika keuntungan gergasi cip Korea Selatan itu melonjak ekoran permintaan tinggi alatan kecerdasan buatan(AI).
Di bawah perjanjian itu, sekitar 78,000 pekerja daripada 125,000 tenaga kerja domestik Samsung, layak menerima bonus kira-kira AS$370,000(RM1.46 juta) setiap seorang pada tahun ini, berdasarkan anggaran keuntungan operasi tahunan.
Kesatuan sekerja Samsung berkata, lebih 73 peratus ahlinya menyokong perjanjian dicapai pada minggu lepas itu selepas mengancam mogok selama 18 hari yang menimbulkan kebimbangan tentang impaknya terhadap ekonomi Korea Selatan.
Permintaan global yang amat menggalakkan bagi cip memori pusat data AI melonjakkan pendapatan Samsung sejak beberapa bulan lalu.
Di bawah perjanjian selama 10 tahun, bonus tahunan pekerja bahagian semikonduktor adalah berjumlah 10.5 peratus daripada keuntungan operasi segmen tersebut dan akan dibayar dalam bentuk saham, bersama-sama tambahan 1.5 peratus secara tunai.
Samsung pada April lalu berkata, keuntungan operasi suku pertama melonjak kira-kira 750 peratus tahun ke tahun, manakala permodalan pasarannya mencecah AS$1 trilion(RM3.97 trilion) buat kali pertama bulan ini. – AFP














