JAKARTA – Seorang rakyat Malaysia yang berdepan detik cemas selepas mengalami kecederaan serius akibat terjatuh di Gunung Rinjani di Lombok, akhirnya berjaya dibawa keluar menggunakan helikopter pagi tadi, lapor portal berita detikbali.
Mangsa, Chye Connsynn dibawa menggunakan helikopter menuju ke sebuah hospital di Bali.
Ketua Pejabat SAR Mataram, Muhamad Hariyadi, menyatakan bahawa mangsa dilaporkan mengalami kecederaan serius sehingga tidak mampu menggerakkan badannya.
“Mangsa pada mulanya diusung oleh malim gunung serta kumpulan penunjuk arah ke kawasan Pelawangan 2 Sembalun untuk bantuan awal,” katanya.
Proses menyelamat mangsa menggunakan helikopter milik PT SGi Air Bali pada petang semalam bagaimanapun gagal berikutan cuaca buruk dan kabut tebal yang melanda kawasan pergunungan tersebut.
Jarak penglihatan yang terhad memaksa helikopter berpatah balik ke pangkalan di Bali demi keselamatan.
Atas nasihat perubatan daripada pihak klinik Nusa Medica, mangsa tidak dibenarkan bergerak dan terpaksa bermalam di atas gunung dengan pengawasan rapi pasukan penyelamat serta jururawat.
Helikopter akhirnya berjaya berlepas semula pagi tadi pada pukul 8.05 pagi sebelum mendarat di helipad Benoa, Bali kira-kira sejam kemudian.
Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan telah dirujuk ke Rumah Sakit Inmedika Sanur, Bali untuk rawatan lanjut. – AGENSI














