fbpx
HASRUL Nizam (tengah) dituduh menyebabkan kematian seorang lelaki akibat perbuatan cuai di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ini.

Letupan tong gas helium: Peniaga belon tidak mengaku sebabkan kematian lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Seorang peniaga belon mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki akibat perbuatan cuai dalam kejadian letupan tong gas helium, Khamis lalu.

Tertuduh, Hasrul Nizam Abu Hasan, 38, yang juga peniaga makanan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Saiful Akmal Mohd Razi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian Azmi Ahmad, 42, dengan melakukan perbuatan cuai iaitu mengubahsuai serta menggunakan tong gas helium buatan sendiri sehingga mengakibatkan letupan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tapak ekspo Jam Besar di Jalan Ibrahim, di sini kira-kira pukul 7.53 malam, 21 Mei lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Adlin Sufiya Kamarulzaman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Muhammad Adam Burhanudeen merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya menanggung isteri serta empat anak berusia antara tiga hingga 15 tahun.

Tertuduh turut menjaga ibu bapa yang uzur selain tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. Tertuduh kemudian membayar wang jaminan berkenaan.

Kosmo! pada Khamis lalu melaporkan seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam kejadian letupan tong gas helium di tapak ekspo dekat Dataran Jam Besar, di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 malam itu, mangsa, Azmi Ahmad, 42, yang merupakan peniaga minuman maut dengan kecederaan parah pada dada dan putus tangan kanan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN