LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Arne Slot mengakui prestasi pasukan itu pada saingan musim ini tidak mencapai standard sebenar biarpun berjaya melayakkan diri ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.
The Reds boleh dianggap bernasib baik apabila memastikan kelayakan ke kancah elit bola sepak Eropah itu dengan menghuni tempat kelima Liga Perdana Inggeris (EPL), iaitu slot terakhir ke UCL.
Slot menegaskan, krisis kecederaan yang melanda pemain-pemain utama pasukan itu sepanjang saingan musim ini boleh dianggap sebagai salah satu faktor Liverpool gagal untuk mempertahankan takhta liga.
“Kalau boleh, memang banyak perkara yang saya nak ubah sepanjang saingan musim ini kerana saya bukanlah insan sempurna. Setiap keputusan yang dibuat sebenarnya sudah dibincangkan dengan sebaiknya.
“Bagaimanapun, tidak semua keputusan yang dibuat adalah tepat tetapi saya perlu melihat situasi semasa. Secara keseluruhan, saya boleh gambarkan saingan musim ini dengan satu perkataan, iaitu kecederaan,” katanya.
Pada masa sama, peminat-peminat Liverpool sudah mula mendesak pihak pengurusan supaya memecat Slot dengan beberapa nama mula dikaitkan dengan kerusi panas itu, termasuk pengendali Bournemouth, Andoni Iraola.
“Saingan musim ini sangat sukar tetapi itulah pengalaman yang cukup berharga untuk semua pemain. Kami juga berjaya mencapai sasaran minimum pasukan, iaitu layak ke Liga Juara-Juara,” ujar Slot. – AGENSI














