fbpx
Menteri Pengangkutan, Anthony melawat ruang pemeriksaan kenderaan ketika sesi pelancaran PPKM MV15, Carro Technology di TTDI Grove Square 2, Kajang hari ini. Foto oleh AMIR KHALID / KOSMO!

Carro Technology tawar pemeriksaan, tukar hak milik kenderaan persendirian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG – Pemilik yang ingin membuat pemeriksaan dan pertukaran hak milik kenderaan persendirian mereka, tidak perlu lagi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan boleh berbuat demikian di syarikat berlesen dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini selepas syarikat Carro Technology Sdn. Bhd. bakal menawarkan perkhidmatan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) bagi Pemeriksaan Tukar Hak Milik Persendirian (MV15) yang akan bermula operasi serentak di lapan cawangan bermula 16 Jun.

Menurutnya, pelancaran ini susulan pengumuman kerajaan pada 16 Julai tahun lalu berhubung pelantikan syarikat baharu bagi melaksanakan PPKM dan MV15 selain daripada Puspakom.

“Inisiatif ini selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023 yang bersetuju membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang diperuntukka mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kepada syarikat berkelayakan.

“Operasi MV15 oleh Carro Technology tertakluk syarat dan piawaian ketat ditetapkan oleh JPJ termasuk penyediaan infrastruktur dan peralatan pemeriksaan yang lengkap, integrasi sistem operasi dengan MySIKAP, mendapatkan kelulusan pihak berkuasa berkaitan serta memastikan Pemeriksaan Kenderaan Motor menjalani program pentaulihan ditetapkan JPJ sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran PPKM bagi MV15 oleh Carro Technology di cawangan TTDI Grove Square 2 di sini, hari ini.

Syarikat tersebut mempunyai lapan cawangan di Glenmarie, Kajang dan Klang, Selagor; Wangsa Melawati, Kuala Lumpur; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Melaka serta Muar dan Johor Bahru, Johor.

Anthony berkata, menerusi perkhidmatan berkenaan, Carro Technology perlu menyediakan ruangan atau lorong pemeriksaan khas serta kakitangan berasingan bagi tujuan pemeriksaan tukar hak milik, selaras pematuhan standard ICO/IEC 17020:2012.

Katanya, dalam masa sama, terdapat syarikat lain sedang dalam proses pembangunan cawangan PPKM MV15 iaitu Carsome Academy Sdn. Bhd. (Sungai Buloh), Car Medic Sdn. Bhd. (Kajang dan Serdang) dan Beriman Gold Sdn. Bhd. (Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu).

“Pembukaan pusat pemeriksaan baharu ini membuktikan komitmen kerajaan yang lebih cekap dan berkualiti, sekali gus menyediakan lebih banyak pilihan serta membantu mengurangkan kesesakan sedia ada.

“Kementerian Pengangkutan dan JPJ akan terus memastikan pengendali PPKM mematuhi standard keselamatan, keperluan teknikal dan tahap integriti ditetapkan demi kepentingan serta keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] tidak lagi diberikan secara eksklusif kepada Puspakom.

Sebaliknya, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata ia akan dibuka kepada mana-mana pihak berkelayakan dan memenuhi syarat-syarat ditetapkan selepas konsesi semasa kepada Puspakom tamat tempoh pada 31 Ogos 2024. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN