SEBERANG PERAI – Seorang warga emas berusia 78 tahun masih gigih mencari rezeki menjual daun palas di tepi Jalan Kampung Pelek, Penanti di sini, sempena menyambut perayaan Aidiladha Rabu ini.
Safie Mohd. Taib berkata, dia menjual daun palas hanya dua kali setahun iaitu pada perayaan Aidilfitri dan Aidiladha, sebagai usaha menambah pendapatan serta mengisi masa lapang.
Menurut bapa kepada 11 anak itu lagi, daun palas sememangnya masih mendapat permintaan tinggi dalam kalangan penduduk tempatan untuk penyediaan ketupat, juadah wajib di pagi raya.
“Saya ambil kira-kira 100 batang daun palas dari Tasik Gelugor, setiap hari dan biasanya pada musim raya memang ramai orang cari untuk buat ketupat. Orang Terengganu pun mai (datang) beli di sini,” katanya kepada Kosmo! di sini, tadi.
Katanya lagi, daun palas dijual pada harga RM10 bagi setiap lima batang. Selain itu juga, dia turut menjual pelbagai sayur-sayuran kampung seperti pucuk paku, daun kunyit, petai, daun kari dan lengkuas.
“Kadang-kadang jika semua jualan habis, bolehlah dapat sekitar RM100 sehari, tetapi ada juga hari yang kurang.
“Saya berniaga pun sebab minat. Duduk di rumah pun tiada apa yang hendak dibuat.
“Saya tak boleh duduk diam. Dulu berhenti kerja kilang masa umur 50-an, kemudian cuba berniaga pula dan akhirnya terus minat sampai sekarang,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














