KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengesyorkan Penjara Taiping dihentikan penggunaannya sebagai institusi tahanan dan dijadikan muzium susulan pelbagai isu infrastruktur serta keselamatan yang dikenal pasti.
Syor tersebut dikemukakan menerusi keputusan Panel Inkuiri Awam Suhakam berhubung insiden di Penjara Taiping pada 17 Januari tahun lalu yang mengorbankan tahanan, Gan Chin Eng, 61.
Pengerusi Suhakam, Datuk Seri Mohd. Hishamuddin Md Yunus berkata, panel turut mencadangkan kerajaan membina penjara baharu di lokasi lain bagi menggantikan Penjara Taiping yang kini berstatus bangunan warisan.
Menurut beliau, panel mendapati keadaan penjara itu tidak lagi sesuai untuk menempatkan tahanan kerana berdepan pelbagai masalah.
“Panel berpandangan Penjara Taiping wajar dijadikan muzium atau tapak warisan.
“Panel juga mendapati terdapat beberapa isu yang menyebabkan blok penempatan tahanan di penjara itu tidak sesuai diduduki termasuk faktor keselamatan dan kebersihan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Pengumuman Keputusan Inkuiri Awam: Insiden Penjara Taiping, hari ini.
Mohd. Hishamuddin berkata, siasatan turut mendapati Blok E yang menjadi lokasi penempatan tahanan masih belum benar-benar siap dan selamat ketika proses pemindahan tahanan dilakukan.
Menurut beliau, keadaan blok yang daif itu menjadi antara punca tercetusnya ketegangan apabila tahanan Mahkamah Tinggi (TMT) enggan dipindahkan ke kawasan berkenaan.
“Panel mendapati keputusan menempatkan tahanan di Blok E dibuat walaupun blok itu mengalami kerosakan struktur dan memerlukan pembaikpulihan.
“Blok berkenaan juga tidak dilengkapi sistem tandas moden sehingga tahanan terpaksa menggunakan ‘bucket system’ (sistem tong),” ujarnya.
Tambah beliau, blok tersebut turut mengalami masalah banjir dan limpahan air longkang ketika hujan lebat sehingga menyebabkan tikus serta lipan memasuki kawasan tahanan selain mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.
Katanya, panel juga mendapati blok berkenaan tidak mematuhi piawaian keselamatan bangunan termasuk tidak menjalani pemeriksaan keselamatan dan kebakaran oleh pihak bomba.
“Keadaan itu boleh meningkatkan risiko keselamatan kepada penghuni sekiranya berlaku kebakaran.
“Panel Inkuiri Awam juga memutuskan keengganan TMT untuk ditempatkan di Blok E tidak boleh dianggap sebagai tindakan mencabar pihak berkuasa,” jelasnya.
Terdahulu media melaporkan, Jabatan Penjara mengesahkan berlaku kejadian provokasi di Penjara Taiping, Perak pada 17 Januari tahun lalu yang menyebabkan seorang banduan meninggal dunia.
Insiden berkenaan membabitkan prospek yang dipindahkan dari Pusat Koreksional Batu Gajah ke Penjara Taiping.
Difahamkan lebih 100 banduan yang majoritinya dipindahkan dari Batu Gajah dipukul sehingga menyebabkan kematian Chin Eng dan kejadian dikatakan berpunca apabila seorang tahanan meminta seorang warder penjara untuk dipindahkan ke tempat lain.
Susulan itu, seorang pegawai penjara yang bertugas di Pusat Koreksional Taiping dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Taiping pada Disember tahun lalu kerana menyebabkan kematian tahanan berkenaan. – KOSMO! ONLINE














