fbpx
Ketiga-tiga senator yang mengangkat sumpah Ahli Dewan Negara di Dewan Negara hari ini. Foto oleh JABATAN PENERANGAN.

Tiga senator angkat sumpah Ahli Dewan Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Dua senator Ahli Dewan Negara telah dipilih semula bagi penggal kedua pada Majlis Mengangkat Sumpah Ahli Dewan Negara yang telah diadakan di Dewan Negara di sini hari ini.

Mereka ialah Senator Hussin Ismail meneruskan khidmat beliau bagi tempoh berkuat kuasa mulai 23 April 2026 hingga 22 April 2029 dan Senator Dr. A. Lingeshwaran bermula 14 Mei 2026 hingga 13 Mei 2029.

Turut mengangkat sumpah ialah Senator Prof. Datuk Seri Dr. Noor Inayah Ya’akub bagi tempoh perkhidmatan bermula 14 Mei 2026 hingga 13 Mei 2029.

Ketiga-tiga mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

Awang Bemee berkata, beliau mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan pelantikan serta pilihan semula semua Senator yang telah mengangkat sumpah.

“Sebagai Ahli Dewan Negara, daripada latar belakang, pengalaman dan negeri yang berbeza, namun kita berkongsi satu matlamat yang sama, iaitu untuk memperkukuh perpaduan negara, memelihara keharmonian masyarakat majmuk serta memastikan suara rakyat terus diberi perhatian dalam proses penggubalan dasar dan perundangan negara.

“Perkara 45(1)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Dewan Negara dianggotai oleh wakil-wakil yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri untuk memastikan suara negeri-negeri diwakili dalam institusi legislatif tertinggi negara,”katanya.

Justeru, Dewan Negara bukan sahaja berperanan sebagai badan yang meneliti dan meluluskan rang undang-undang, malah menjadi medan perbahasan yang matang, berhemah dan konstruktif demi kepentingan rakyat serta kesejahteraan negara.

Malah katanya, dalam suasana yang mencabar ketika ini, rakyat menaruh harapan yang tinggi agar institusi Parlimen terus memainkan peranan secara berkesan dalam meneliti dasar-dasar kerajaan, mengemukakan pandangan yang bernas serta mencadangkan penyelesaian yang praktikal, seimbang dan konstruktif.

“Saya berharap Yang Berhormat Senator sekalian akan terus memanfaatkan pengalaman, kepakaran dan kebijaksanaan masing-masing melalui penyertaan aktif dalam sesi perbahasan, pengemukaan soalan-soalan yang berkualiti serta penglibatan yang berkesan dalam Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Dewan Negara demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara,”katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tanggungjawab seorang Senator tidak lagi terbatas di dalam Dewan semata-mata.

“Yang Berhormat sekalian juga memikul amanah besar dalam menyemai kefahaman masyarakat terhadap prinsip keluhuran Perlembagaan, demokrasi berparlimen dan kedaulatan undang-undang.

“Gunakanlah media sosial serta pelbagai platform komunikasi, sama ada digital mahupun konvensional, secara berhemah, bertanggungjawab dan berintegriti dalam membimbing masyarakat, memperkukuhkan perpaduan serta memelihara keharmonian negara,”nasihatnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN