MEKAH – Debaran hampir dua juta umat Islam dari seluruh dunia untuk menunaikan rukun terpenting ibadah haji mula dirasai apabila jemaah mula bergerak secara berperingkat ke Arafah bagi melaksanakan ibadah wukuf hari ini.
Jemaah haji akan berada di padang Arafah seluas kira-kira 13 kilometer persegi itu sehingga selesai waktu wukuf sebelum bergerak ke Muzdalifah untuk bermalam dan seterusnya ke Mina bagi melaksanakan ibadah melontar jamrah bermula 10 hingga 13 Zulhijjah.
Dalam pada itu, pihak berkuasa Arab Saudi terus memperketat kawalan keselamatan dan pengurusan pergerakan jemaah bagi memastikan proses perjalanan ke Arafah berjalan lancar susulan kehadiran jutaan jemaah dari seluruh dunia.
Bagi jemaah Malaysia, perjalanan menuju Arafah disifatkan sebagai detik paling dinanti selepas sekian lama membuat persiapan fizikal, mental dan rohani untuk menjadi dhuyufurrahman atau tetamu Allah.
Rata-rata jemaah mengakui perasaan bercampur baur antara gembira, terharu dan berdebar kerana wukuf menjadi penentu kesempurnaan ibadah haji mereka.
Seorang jemaah dari Kuala Selangor, Abdul Manaf Sulong, 62, berkata, persiapan ke Arafah bukan sekadar melibatkan kelengkapan fizikal, sebaliknya lebih kepada persediaan jiwa dan pengharapan kepada Allah.
“Apa yang dibawa bersama sebenarnya lebih banyak berupa harapan, doa dan perjalanan hidup yang dikumpul bertahun-tahun sebelum akhirnya tiba di Tanah Suci.
“Saya bawa gambar anak-anak dan cucu sebab bila di Arafah nanti saya mahu doakan satu persatu untuk mereka,” katanya ketika ditemui semalam.
Sementara itu, seorang jemaah wanita dari Kuantan, Pahang, Salmiah Sulong berkata, dia sudah mula menyusun barang keperluan sejak seminggu lalu kerana bimbang tertinggal sesuatu menjelang perjalanan ke Arafah.
“Kita datang sini bukan fikir diri sendiri sahaja. Dalam doa nanti ada anak, suami, adik-beradik malah kawan-kawan di Malaysia pun kita ingat.
“Saya rasa inilah peluang terbaik untuk mendoakan semua orang yang banyak membantu sepanjang hidup saya,” katanya.
Mengulas lanjut, Ketua Pakar Rujuk Haji, Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, waktu wukuf bermula selepas Zuhur pada 9 Zulhijjah dan sepanjang tempoh itu jemaah disunatkan memperbanyakkan zikir, talbiah serta doa.
“Ini adalah saat paling mustajab untuk mendekatkan diri kepada Allah. Jemaah perlu mengelakkan perkara yang boleh melalaikan dan menggunakan sepenuhnya peluang berada di Arafah dengan berdoa, membaca al-Quran serta berzikir,” katanya.
Tambah beliau, keadaan berdebu dan kusut di Arafah melambangkan sifat tawaduk seorang hamba di hadapan Allah, selain menzahirkan keikhlasan dalam beribadah agar jauh daripada riak dan ego.
“Falsafah wukuf menuntut setiap jemaah benar-benar menghayati makna kehambaan dengan merendahkan diri, memperbanyakkan doa dan meletakkan sepenuh harapan kepada keampunan Allah.
“Inilah peluang terbaik untuk memohon keampunan dan mendekatkan diri kepada Allah,” katanya.















