fbpx
Nur Izzmirza ketika memantau sistem serta proses bagi memastikan keletarian alam sekitar di tapak pembinaan.

Bermula di Politeknik, Nur Izzmirza bukti laluan TVET lahirkan jurutera kompeten

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMAHIRAN teknikal, ketelitian proses dan pendedahan amali sering dikaitkan dengan dunia kejuruteraan.

Bagi Nur Izzmirza Mohsin, kemahiran-kemahiran itulah yang kini menjadi ‘senjata’ utamanya dalam memacu kerjaya dalam bidang pengurusan alam sekitar sehingga berjaya meraih pelbagai pengiktirafan .

Bekas pelajar Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Shah Alam, Selangor itu membuktikan pengajian aliran TVET mampu melahirkan modal insan yang cemerlang.

Menurut Nur Izzmirza, 30, dia memilih laluan TVET ketika di peringkat diploma kerana minat dalam bidang kejuruteraan sejak bersekolah lagi.

Minat dalam bidang kejuruteraan yang dipupuk sejak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mendorongnya untuk memohon Diploma Kejuruteraan Awam.

“Keputusan memilih aliran TVET ini pada mulanya sebab minat mendalam saya dalam dunia kejuruteraan sejak zaman sekolah lagi.

“Selepas memperoleh Diploma Kejuruteraan Awam, saya tidak terus sambung ijazah, tetapi memilih untuk ‘mengutip’ pengalaman praktikal terlebih dahulu sebagai drafter (pelukis pelan) di sebuah syarikat perunding,” katanya.

Selepas menimba pengalaman sebagai drafter, barulah dia melanjutkan pengajiannya di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam bidang sama selama tiga tahun setengah.

Selepas tamat pengajian, dia berkhidmat selama enam bulan sebagai jurutera awam, sebelum dinaikkan pangkat menjadi jurutera projek yang menguruskan sistem serta proses projek berkaitan.

Pada masa sama, dia menyambung ke peringkat sarjana dalam bidang kejuruteraan alam sekitar di Universiti Putra Malaysia (UPM) kerana ingin mula terlibat dalam sektor berkenaan.

“Saya bertukar bidang kerana mahu fokus kepada alam sekitar, khususnya melibatkan pemeriksaan kualiti air, udara, bunyi serta pemantauan tahap gegaran bagi memastikan tiada kesan buruk kepada orang awam akibat proses pembinaan,” jelasnya.

Kini, Nur Izzmirza berkhidmat sebagai pegawai alam sekitar yang diberi tanggungjawab untuk memantau sistem serta proses bagi memastikan kelestarian alam sekitar di tapak pembinaan.

Menurutnya, silibus yang dipelajari sepanjang berada di institusi TVET amat membantu tugasan harian di tempat kerja ketika ini.

Walaupun tidak terlibat secara langsung dalam pembinaan fizikal, namun asas kejuruteraan sivil membolehkannya memahami proses kerja yang berisiko menyumbang kepada pencemaran.

Sepanjang pengajian di peringkat sarjana, Nur Izzmirza turut membuktikan keupayaan dalam inovasi apabila memenangi dua anugerah tinggi untuk tesisnya, termasuk Anugerah Inovasi Terbaik sempena Hari Air Sedunia.

Mengulas mengenai gred pencapaiannya, Nur Izzmirza berkata, dia memperoleh keputusan cemerlang di setiap peringkat pengajian iaitu Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.86 untuk diploma, ijazah sarjana muda (3.87) dan peringkat sarjana (3.86).

“Pengalaman paling mencabar adalah ketika saya melanjutkan pengajian peringkat sarjana secara sambilan sambil bekerja di sebuah kilang di Lumut, Perak.

“Dalam tempoh setahun setengah, cabaran terbesar adalah kekangan masa kerana saya perlu kerap berulang-alik dari Serdang ke Lumut, di samping perlu menguruskan pelanggan syarikat,” ujarnya.

Sementara itu, bagi kekal relevan dalam industri, dia menekankan kepentingan memiliki pelbagai kompetensi, komitmen yang tinggi, dan berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) dalam masa terdekat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN