KULIM – Seorang lelaki disyaki pengedar dadah dan ‘runner’ bagi bekalan bahan terlarang itu di kawasan utara dicekup bersama 6.3 kilogram (kg) syabu dianggarkan bernilai RM315,000 di Taman Kenari, di sini kelmarin.
Suspek berusia 35 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.10 tengah malam hasil risikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Tengku Mohd. Faisal Tengku Yeng berkata, polis menemukan dadah dalam kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki suspek.
“Pemeriksaan lanjut ke atas beg sandang itu menjumpai tujuh peket plastik lut sinar mengandungi dadah jenis syabu seberat 4.7 kg.
“Pemeriksaan terhadap beg plastik hitam pula membawa kepada penemuan dua lagi peket plastik lut sinar mengandungi syabu seberat 1.6 kg serta satu alat penimbang digital,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kulim di sini hari ini.
Menurutnya, suspek dipercayai bertindak sebagai pengedar bagi pasaran tempatan dan ‘runner’ di kawasan utara dengan bekalan dadah diperoleh daripada seorang individu yang menetap di Danok, Thailand.
“Polis turut menyita wang tunai berjumlah RM400 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dan suspek direman selama tujuh hari bermula kelmarin,” katanya. – KOSMO! ONLINE














