fbpx
ANTARA tangkap layar komen yang dipercayai dibuat oleh tentera siber termasuk memberi respon positif bagi produk.

‘Cyber trooper’ makan kiri kanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerjaya sebagai cyber trooper atau tentera siber kini beroperasi sebagai industri terancang bukan sahaja untuk memanipulasi sentimen pengguna di media sosial, malah turut berperanan sebagai ejen promosi digital kepada individu mahupun produk perniagaan.

Modus operandi pasukan ini adalah menggunakan pelbagai akaun palsu selain telefon khas untuk mencipta kandungan tertentu seterusnya mencetuskan kontroversi serta memanipulasi algoritma bagi pihak berkepentingan.

Lebih mengejutkan, ada individu mendakwa menerima habuan tinggi mencecah RM10,000 sebulan hanya dengan meninggalkan komen berbaur provokasi, menaikkan kemarahan netizen atau menjatuhkan imej individu secara terancang.

Pendedahan ini diakui seorang individu dikenali sebagai Nazri, 45, yang mendakwa operasi tentera siber berbayar sebenarnya digerakkan secara tersusun de­ngan struktur organisasi lengkap melibatkan ketua pusat, ketua negeri dan ahli bawahan terutama melibatkan dunia politik.

Menerusi temu bual bersama Kosmo! Ahad, Nazri berkata, ahli biasa menerima bayaran tetap sekitar RM2,000 sebulan, manakala ketua negeri boleh memperoleh antara RM5,000 hingga RM10,000 bergantung kepada tugasan dan pengaruh masing-masing.

“Kalau terlibat sebagai ahli biasa, gaji RM2,000 setiap bulan dan dibayar terus ke akaun. Setiap negeri pula ada ketua. ­Ketua negeri dapat lebih tinggi, sekitar RM5,000 hingga RM10,000.

“Lagi agresif dan pandai main sentimen, lagi tinggi nilai seseorang dalam kumpulan. Ada yang memang dibayar khas untuk ‘tembak’ isu tertentu sampai jadi viral,” katanya.

Nazri berkata, tugasan utama melibatkan pemantauan isu semasa, membuat hantaran berkaitan agenda tertentu dan menyerang pihak lawan di media sosial mengikut arahan diterima.

Katanya, semua arahan ­disalurkan melalui kumpulan WhatsApp atau Telegram khas.

“Pengalaman saya dalam politik, parti tertentu ini akan bagi gambaran tugas kepada ketua, dan perbincangan tugasan akan berlaku dalam kumpulan. Isu apa perlu dipantau, hantaran apa kena buat dan kadang-kadang siap diberi ayat untuk digunakan.

“Antara komen biasa yang diberi termasuk ‘Rakyat dah muak’, ‘Netizen semua nampak peni­puan ini’ atau ‘Dia ni memang kaki drama’,” jelasnya.

Menurutnya, komen sedemikian sengaja direka supaya kelihatan seperti reaksi spontan netizen biasa walaupun sebenarnya dibuat secara beramai-ramai untuk mempengaruhi persepsi awam.

“Kadang-kadang mereka suruh ulang ayat hampir sama guna akaun berlainan supaya orang nampak macam ramai setuju. Bila netizen tengok banyak komen negatif, mereka mudah percaya isu itu betul,” katanya.

Katanya, paling meriah ketika musim pilihan raya, namun aktiviti itu turut berlanjutan sepanjang tahun sehingga menjadi sumber pendapatan tetap kepada tentera siber.

“Yang terlibat sebagai tentera siber politik ini selalunya mereka yang kenal orang-orang politik. Ada dari ahli, dari pengikut, orang media serta pelbagai latar belakang kerjaya,” katanya.

Dedahnya lagi, ahli juga dibekalkan akaun palsu lengkap dengan ID, kata laluan serta jumlah pengikut tertentu untuk menjalankan operasi tanpa menggunakan akaun peribadi,” ujarnya.

Selain politik, khidmat tentera siber turut berkembang ke sektor pemasaran digital dan promosi pempengaruh selain membentuk gosip terbaharu untuk menghidupkan nama seseorang.

Tinjauan mendapati individu terlibat boleh menerima bayaran antara RM50 hingga RM200 hanya untuk meninggalkan komen positif atau negatif dengan menyokong siaran langsung serta hantaran pihak tertentu di platform seperti TikTok, Facebook dan Instagram.

Seorang tentera siber dikenali Amir, 27, berkata, satu sesi siaran langsung selama satu hingga dua jam mampu memberinya pendapatan RM100 hingga RM200.

“Kami ada kumpulan Whats­App lebih kurang 30 ahli, dan setiap tugasan akan diberikan oleh pengendali. Bayaran tak tetap bergantung kepada tugasan, ada yang perlu beri komitmen untuk beberapa jam, ada juga yang kena terlibat untuk satu tempoh kempen.

“Kalau live, kami kena aktif sepanjang sesi, tanya soalan, beri pujian dan wujudkan suasana meriah. Kalau projek jual produk, kami kena berlakon sebagai pengguna. Tinggalkan komen ‘done beli, saya guna memang jerawat hilang’ atau buat-buat bertanya mengenai produk,” katanya.

Menurut Amir, ada juga tugasan khas untuk ‘panaskan’ ruangan komen dengan kecaman supaya konten menjadi tular.

“Kadang-kadang kami diminta jadi netizen marah. Contoh komen macam ‘Content macam ini pun ada orang sokong?’, ‘Influencer ini makin lama makin over’, ‘Patutlah orang boikot’ atau ‘Memang layak kena cancel’,” katanya.

Seorang lagi individu dikenali sebagai Liyana, 24, berkata, bidang tersebut semakin diminati golongan muda khususnya pelajar yang sememangnya aktif di media sosial.

“Kita cuma kena faham cara netizen bercakap dan tahu apa yang sedang ‘trending’. Kalau komen nampak terlalu formal, orang cepat syak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN