PETALING JAYA – Operasi tentera siber kini semakin licik apabila menggunakan akaun media sosial yang kelihatan tulen bagi mengaburi pengguna.
Taktik itu tidak lagi tertumpu kepada pembukaan akaun palsu baharu semata-mata, sebaliknya ada pihak dipercayai membeli akaun sedia ada milik pengguna sebenar sebelum menukar identiti dan fungsi akaun tersebut.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Ammar Redza Ahmad Rizal berkata, perkembangan teknologi digital dan kemunculan kecerdasan buatan generatif (AI) menjadikan operasi sedemikian semakin mudah dilakukan.
Menurut beliau, apa yang diperlukan hanyalah akses kepada platform media sosial serta dana mencukupi untuk menggerakkan operasi secara konsisten.
“Jika kempen, operasi yang lebih rumit, mungkin beberapa perisian tambahan adalah diperlukan. Ini termasuk untuk memahami kelakuan algoritma, demografik audiens dan merangka operasi serta kempen yang lebih sistematik. Tetapi, pokok pangkalnya ia semakin mudah berbanding dahulu,” katanya.
Menurut beliau, akaun palsu lazimnya terbahagi kepada dua kategori iaitu akaun individu yang diwujudkan bagi menyembunyikan identiti dan akaun palsu yang dibangunkan secara tersusun untuk operasi tertentu.
Katanya, akaun berbentuk digital biasanya lebih mudah dikesan kerana corak aktiviti yang tidak organik, hantaran seragam dan tidak mempunyai jejak digital jelas.
“Bagaimanapun, cabaran sebenar datang daripada akaun yang dibeli daripada pengguna asal sebelum identitinya ditukar kerana ia nampak lebih tulen, sudah mempunyai sejarah penggunaan, pengikut serta interaksi yang meyakinkan.
“Jika dulu tanda ‘verified’ hanya diberikan kepada akaun tertentu, namun sekarang pengguna boleh mendapatkannya dengan bayaran tertentu. Agak sukar untuk pengguna-pengguna lain mengesan akaun palsu dengan sekali imbas,” jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Dekan Akademik dan Teknologi Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Information Technology, Dr. Shafiza Mohd Shariff berkata, kewujudan tentera siber bukan fenomena baharu dan semakin berkembang pesat selepas ledakan media sosial.
“Tentera siber sudah lama wujud, cuma kini ia lebih tersusun dan mudah diuruskan. Pembinaan akaun palsu secara besar-besaran juga bukan sesuatu yang sukar kerana ramai pengguna sendiri mempunyai beberapa akaun media sosial,” katanya.
Beliau berkata, kebanyakan akaun palsu dibina menggunakan e-mel sementara dan diuruskan secara sistematik bagi tujuan mempengaruhi naratif tertentu.
Shafiza menambah, platform seperti Facebook dan X antara medium yang kerap dikaitkan dengan kewujudan akaun palsu kerana mempunyai capaian besar serta kadar perkongsian kandungan pantas.
Ketika diminta mengulas persepsi segelintir pihak yang menganggap aktiviti tentera siber sebagai kerjaya digital, beliau menegaskan tidak bersetuju dengan pandangan tersebut.
“Saya tidak boleh terima ini dianggap satu kerja seperti mana ‘scammer’ dianggap sebagai kerjaya. Tetapi saya tidak boleh sangkal ada yang menerima ini sebagai satu kerjaya,” katanya.














