fbpx
Anggota DBKL mengalihkan kon yang digunakan untuk aktiviti 'cop' parkir di sekitar PPR, Kuala Lumpur. - Ihsan DBKL

DBKL tegur budaya ‘cop’ parkir di PPR, strata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Budaya ‘cop’ parkir di kawasan kediaman strata dan projek perumahan rakyat (PPR) tidak sepatutnya menjadi amalan masyarakat bandar.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, isu kekurangan parkir sememangnya berlaku di banyak kawasan kediaman berikutan pertambahan jumlah kenderaan.

Namun, katanya, keadaan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk individu tertentu bertindak meletakkan kon, kerusi, pasu bunga atau pelbagai halangan lain bagi menempah petak parkir untuk kegunaan sendiri.

“Dalam kehidupan bermasyarakat khususnya di kawasan strata dan PPR, setiap penduduk perlu memahami bahawa kemudahan yang disediakan adalah untuk dikongsi bersama demi keselesaan komuniti.

“Namun yang menjadi persoalan ialah apabila kesukaran itu dijadikan alasan untuk ‘mencop’ tempat letak kereta.

“Ada yang meletakkan kon, kerusi, pasu, tong air malah papan tanda buatan sendiri seolah-olah petak itu milik peribadi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut DBKL, di sesetengah kawasan PPR, kemudahan parkir bertingkat telah disediakan bagi membantu mengurangkan kesesakan dan melancarkan pergerakan di kawasan kediaman.

Bagaimanapun, masih terdapat segelintir penduduk yang memilih untuk meletakkan kenderaan di laluan, bahu jalan atau secara berlapis kerana mahu lebih dekat dengan rumah atau premis tertentu.

Tambahnya, sikap mementingkan diri dalam penggunaan ruang bersama boleh memberi kesan terhadap keharmonian komuniti selain mencetuskan ketegangan sesama jiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN