SEREMBAN – Seorang bekas kerani syarikat pelancongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 62 pertuduhan mengemukakan dokumen tuntutan bayaran kad kredit syarikat yang mengandungi butiran palsu RM55,043.60 untuk kepentingan peribadi.
Nur Hidayah Mohamad Shahari, 23, yang kini tidak bekerja membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim N. Kanageswari.
Tertuduh melakukan tempahan hotel atas urusan rasmi syarikat tersebut pada Mac 2023 hingga Februari 2024. Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Syairah Aqilah Khalil, manakala, tertuduh diwakili peguam, Aina Halim.
Mahkamah kemudiannya membenarkan wang jaminan sebanyak RM15,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin dan tarikh sebut semula kes ditetapkan pada 24 Jun.- KOSMO! ONLINE














