PETALING JAYA – Masyarakat diseru agar terus tampil ke hadapan untuk melaporkan kes yang melibatkan dakwaan kesalahan seksual kepada pihak berkuasa.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihak berkuasa mesti mengambil tindakan segera untuk menyiasat terutamanya apabila aduan melibatkan mangsa kanak-kanak.
“Ambil tanggungjawab bersama sebagai ahli masyarakat untuk sentiasa mengingatkan tanggungjawab semua pihak untuk terus melindungi kanak-kanak,” katanya di media sosial.
Beliau berkata demikian susulan kes seorang guru yang disiasat berhubung dakwaan salah laku seksual terhadap murid di Johor Bahru, semalam.
Fadhlina berkata, kes berkenaan telah diambil alih sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia, manakala Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneruskan siasatan dalaman.
“Individu tersebut telah ditahan oleh pihak berkuasa. Jabatan Kebajikan Masyarakat telah melindungi anak ini dan KPM akan teruskan siasatan dalaman,” ujarnya.
Terdahulu KOSMO! melaporkan, Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komusioner Hoo Chuan Huat berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 28 tahun kira-kira pukul 10.30 malam tadi bagi membantu siasatan.
Katanya, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Johor Bahru, hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor memaklumkan, individu berkenaan ditempatkan di Pejabat Pendidikan Daerah sepanjang siasatan dijalankan pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE














