TUMPAT – Seorang lelaki tidak sempat menghantar sebanyak 60 gram heroin kepada sindiket pengedaran apabila kesemua dadah tersebut yang disembunyikan di celah kangkangnya dirampas ketika dicekup di jalan Kasban, Kampung Simpangan di sini semalam.
Suspek yang berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7 malam semasa Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan Ops Taring Wawasan di kawasan tersebut.
Komander Briged Tenggara PGA ,Senior Asisten Komsioner Ahmad Radzi Hussain berkata, sepasukan anggota PGA mengesan sebuah motosikal yang ditunggang dalam keadaan mencurigakan menghala ke Kuala Jambu di siniz
Katanya, suspek bertindak memecut laju apabila anggota PGA mengarahkan motosikal tersebut berhenti untuk pemeriksaan.
“Keadaan itu menyebabkan motosikal itu terbabas ke dalam semak berhampiran Jalan Kasban, Kampung Naga Ibu dekat Pengkalan Kubor. Suspek bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan semasa tangkapan dijalankan.
“Pemeriksaan terhadap tubuh badan lelaki itu membawa kepada penemuan sebanyak 60 gram heroin bernilai RM1,500 yang disembunyikan di celah kangkangnya.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai pelbagai rekod lampau berkait kes dadah dan jenayah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, siasatan mendapati, suspek mengambil bekalan heroin tersebut daripada seorang lelaki warga Thailand yang dikenali sebagai Mat di pangkalan haram Tualang di sini.
Menurutnya, suspek dikatakan mengenali lelaki itu sejak Januari lalu untuk urusan penghantaran bekalan dadah.
“Heroin itu disyaki akan dihantar kepada individu yang tidak dikenali di sekitar Pengkalan Kubor di sini sebelum suspek memperoleh upah sebanyak RM100.
“Siasatan mendapati, suspek aktif menjalankan kegiatan menghantar dadah dari kawasan pangkalan haram ke Pengkalan Kubor sejak lima bulan lalu,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE














