fbpx
Fadillah menyampaikan Anugerah Inovasi Menteri (AIM) kepada penerima pada program pelancaran Sustainable Rebate & Incentive Assistance (SuRIA) Home dan Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air di Putrajaya hari ini.

Kerajaan pergiat usaha jamin bekalan tenaga domestik hingga Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA- Kerajaan terus mempergiat usaha bagi memastikan keterjaminan bekalan tenaga domestik dapat dijamin sekurang-kurangnya sehingga Disember, susulan daripada krisis bekalan global yang sedang berlaku ketika ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, buat masa ini, status keterjaminan bekalan tenaga Malaysia berada dalam kedudukan stabil serta mencukupi untuk menampung permintaan sehingga Julai ini.

“Jadi, kita mahu mengurangkan penggunaan dan menjimatkan sebenarnya penggunaan tenaga.

“Tujuannya supaya kita dapat memanjangkan tempoh hayat bekalan minyak kita, bekalan gas kita. Kalau setakat ini, keterjaminan bekalan tenaga kita sehingga bulan Julai.

“Petronas sedang bertungkus-lumus untuk mendapat sumber bekalan, malah terpaksa pergi ke Afrika sekalipun. Dan kalau ia dapat dimuktamadkan, kita akan dapat keterjaminan bekalan tenaga kita sehingga Disember,” katanya.

Fadillah berkata demikian ketika berucap melancarkan inisiatif Sustainable Rebate & Incentive Assistance (SuRIA) Home pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bulan Mei 2026 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Fadillah menjelaskan bahawa kestabilan dan keselesaan yang dinikmati ketika ini juga telah membentuk persepsi umum seolah-olah negara bebas daripada sebarang ancaman krisis.

Hakikatnya, beliau berkata, situasi tersebut merupakan implikasi langsung daripada perancangan rapi dan gerak kerja konsisten oleh pelbagai agensi serta pihak berkepentingan di sebalik tabir.

“Di Malaysia kita masih hampir mudah sebenarnya, kita masih merasakan Malaysia ini macam tidak ada krisis. Ini kedudukan di Malaysia.

“Tetapi sebenarnya orang bekerja untuk memastikan supaya kita masih berada dalam keadaan selesa ini, banyak pihak yang memainkan peranan sebenarnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN