SUNGAI PETANI – Seorang lelaki berusia lingkungan 42 tahun maut, manakala tiga lagi cedera dalam kejadian letupan tong gas helium dekat tapak jualan makanan di Jam Besar di sini malam ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 malam itu, mangsa yang merupakan peniaga minuman meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di perut serta putus sebelah tangan.
Mangsa maut dikatakan terkena serpihan tong gas meletup yang dikatakan diletakkan di tepi tandas sejauh kira-kira 200 meter.
Tiga lagi mangsa lelaki yang cedera berusia 16, 36 dan 49 tahun.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 7.52 malam tadi.
“Letupan tersebut melibatkan satu unit tong gas helium yang digunakan untuk mengisi belon kanak-kanak bagi tujuan perniagaan,” katanya di sini hari ini.
Peniaga makanan ringan, Rahim Ramli berkata, dia terkejut mendengar bunyi letupan kuat sebelum melihat seorang mangsa cedera parah pada bahagian perut dan tangan.
“Memang tak sangka letupan tong gas helium itu boleh mengakibatkan kematian di tapak jualan ini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














