fbpx
Steven Sim (tengah) ketika menerima cek cura sebagai tajaan kepada pelajar UKKM pada Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen 2 UKKM di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/KOSMO!

UKKM mahu jadi universiti perniagaan dipacu AI terbaik negara – Steven Sim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Universiti Keusahawanan dan Koperasi Malaysia (UKKM) menyasarkan untuk menjadi universiti perniagaan dipacu kecerdasan buatan (AI) terbaik di negara ini dalam usaha menarik lebih ramai golongan muda menceburi bidang koperasi dan keusahawanan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, sesebuah institusi pengajian tinggi perlu berubah mengikut perkembangan semasa kerana dunia pekerjaan berubah terlalu pantas.

Disebabkan itu, beliau yang juga Canselor UKKM berkata, universiti tersebut bercadang menawarkan lebih banyak kursus mikro dan program jangka pendek khususnya berkaitan AI dan perniagaan bagi memenuhi keperluan golongan profesional yang sedang bekerja.

“Kalau kita hidup dalam zaman AI dan kita masih lagi buat cara universiti lama, kita akan ketinggalan. Jadi kita kena bergerak laju. Dedahkan anak-anak kita kepada teknologi-teknologi terkini, AI, digital, teknologi hijau untuk mereka jadi tokoh-tokoh penggerak perniagaan masa depan.

“Saya ini sering kata bahawa antara isu utama pendidikan kita adalah bagaimana kadang-kadang kita ambil masa tiga hingga empat tahun untuk belajar, lepas itu keluar, dunia dah berubah.

“Jadi kami di UKKM bercadang untuk tawarkan ‘AI for Business’ kursus satu bulan, kursus tiga minggu, kursus tiga hari yang memberikan pembelajaran berimpak tinggi tetapi dengan cekap,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemasyhuran Canselor dan Konvokesyen Kali Kedua UKKM yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre (WTC), di sini hari ini

Tambah Steven Sim, sektor koperasi kekal relevan sebagai antara pemacu penting pembangunan ekonomi negara, malah memerlukan lebih ramai tenaga kerja profesional yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan, tadbir urus, kepimpinan korporat, inovasi dan pembangunan perniagaan.

Beliau juga percaya, gerakan koperasi mempunyai potensi yang besar apabila merekodkan perolehan sebanyak RM81.62 bilion sehingga Disember tahun lalu sekali gus meningkat 19.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sementara itu, Steven Sim berkata, bagi menarik ramai golongan muda untuk menyertai bidang koperasi, UKKM juga akan melaksanakan program ‘Business School in School’ bermula Jun depan bagi memberi pendedahan awal mengenai dunia perniagaan dan koperasi kepada pelajar sekolah.

“Kita akan masuk ke sekolah-sekolah menggunakan wadah ataupun platform korporasi memberikan ilmu pendidikan perniagaan khususnya buat pelajar golongan B40 dan M40.

“Saya nak gunakan pentas korporasi di sekolah, beri pendedahan awal kepada bisnes melalui korporasi. Kita nak pelajar itu sendiri tahu struktur perniagaan itu macam mana. Korporat, pengurusan korporat, pengurusan kewangan, pegangan saham, pembahagian dividen dan sebagainya,” ujarnya.

Terdahulu, seramai 26 graduan menerima diploma dan ijazah melibatkan lima program akademik iaitu Diploma Pengurusan Koperasi, Diploma Keusahawanan Koperasi, Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Koperasi), Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kepimpinan Korporat) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan.

Dalam majlis yang sama, Steven Sim juga menerima cek cura bernilai RM4.6 juta sebagai tajaan dalam melahirkan tenaga kerja profesional sektor koperasi menerusi pelbagai inisiatif pembangunan pendidikan.

Sehingga kini, Yayasan Bank Rakyat telah menyediakan tajaan biasiswa berjumlah RM4.08 juta selama tiga tahun yang kini manfaatnya telah dinikmati seramai 16 pelajar UKKM, manakala Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi pula menaja seramai 28 pelajar dengan nilai keseluruhan RM516,066. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN