KUALA TERENGGANU – Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,000, dua tahun lalu.
Tertuduh, Nik Mohamad Azaha Mohd. Zohari, 59, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Setiu didakwa memperoleh suapan RM990 sebagai dorongan melepaskan seorang lelaki daripada tahanan polis.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Permaisuri, Setiu dekat sini pada 22 Ogos 2024.
Anggota keselamatan itu turut didakwa menerima suapan RM2,010 daripada seorang lelaki bagi tujuan pada tarikh sama di sebuah bank berasingan di Setiu.
Oleh itu, Nik Mohamad Azaha didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim Azman membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dan seorang penjamin dan menetapkan 26 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rabiatul Addawiah Mohd. Noorlee, manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nur Faid Afiq Aziz. – KOSMO! ONLINE














