SHAH ALAM – Perbuatan seorang pemandu e-hailing mengedar dan memiliki lebih 24.58 kilogram (kg) dadah termasuk kanabis empat tahun lalu memakan diri apabila dia dihukum penjara 30 tahun dan dikenakan 25 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar menjatuhkan hukuman itu ke atas K. Prakash, 43, yang didapati bersalah selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Berdasarkan pecahan hukuman, Prakash dihukum penjara 30 tahun dan 12 sebatan atas kesalahan mengedar kanabis dan masing-masing penjara lima tahun bagi kesalahan memiliki Monoacetylmorphines dan heroin.
Bagi pertuduhan memiliki dadah, tertuduh diperintah menjalani hukuman sebatan masing-masing tiga dan lima sebatan. Bagaimanapun hukuman penjara tersebut diarahkan berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 22 April 2021.
Terdahulu, Prakash merayu tidak dikenakan hukuman penjara kerana tidak sanggup berpisah dengan anak tunggalnya berusia enam tahun yang kini berada di bawah jagaan bekas isterinya.
“Kalau saya masuk penjara, macam mana saya mahu jumpa (anak). Sudah beberapa tahun saya tidak jumpa anak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














